“Kenapa kau buat anak aku macam tu ha?” – Ibu mangsa menangis di mahkamah

Seorang suri rumah didakwa atas tuduhan membunuh anak perempuan rakan baiknya yang baru berusia lima tahun di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak. Wan Fatimah Zahra Wan Abdullah, 27, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha pada Jumaat. Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes pembunuhan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Wan Fatimah Zahra didakwa membunuh Iman Adelia Yusullah di sebuah rumah di Jalan Kledang Raya 23, Taman Malcop Ipoh antara 5 hingga 10 Jun lalu. Pertuduhan tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Wong meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan. Punitha menetapkan 28 Ogos untuk sebutan sementara menunggu laporan ahli kimia.

Ahli keluarga mangsa dari Pahang, termasuk ibu kanak-kanak itu, hadir dan menangis semasa prosiding. Sebelum meninggalkan mahkamah, ibu kanak-kanak itu bertanya kepada tertuduh, “Kenapa buat anak aku macam tu…?”

Dilaporkan pada 11 Jun bahawa seorang kanak-kanak disyaki telah didera sehingga mengakibatkan kematiannya. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tertuduh dan suaminya berusia 66 tahun telah menjaga kanak-kanak itu selama beberapa bulan. Mangsa mempunyai tanda-tanda dipukul di seluruh badannya dengan objek tumpul selain terdapat koyakan di bahagian sulit dan duburnya.

Baca : Ini respon Hafidz Roshdi selepas bekas isteri sebar chat lucahnya