Bagi mereka yang bekerja atau melakukan aktiviti dalam kumpulan, pakaian seragam dan uniform khas pasti akan menjadi keutamaan.
Selain menjadi identiti pasukan, keseragaman uniform atau pakaian adalah untuk lebih mudah dibezakan dengan pasukan lain.
Keseragaman ini jelas dilihat dalam sukan, seperti dalam dunia bola sepak, hoki, badminton dan banyak lagi.
Dalam dunia sukan, pakaian yang seragam ini dipanggil dengan nama jersi.
Memetik Liberty Champion, amalan memakai pakaian yang seragam dalam sukan dikatakan muncul pada akhir abad ke-19.
Sejak itu, atlet yang beraksi dalam sesuatu liga akan menggunakan jersi sebagai sumber identiti pasukan dan kreativiti artistik mereka.
Namun begitu, kenapa seragam atlet ini dinamakan sebagai jersi, ada kaitan dengan nama tempat ke?
Kenapa dipanggil ‘jersey’ atau jersi?
‘Jersey’ berasal daripada nama sebuah pulau iaitu Pulau Jersey yang berada dibawah British.
Penduduk tempatan Pulau Jersey ketika itu terkenal dengan kemahiran mengait bahan seperti baju sejuk berbulu.
Baju sejuk yang dihasilkan pula diakui mempunyai tenunan yang ketat dan memiliki keupayaan untuk mengekalkan kehangatan si pemakai.
Menurut Hyve Sports, jersi pada mulanya dipakai sebagai baju lapisan dalam oleh pelaut luar bandar.
Namun selepas itu, pakaian berkenaan beransur-ansur berkembang menjadi sejenis pakaian biasa yang boleh dipakai sepanjang masa, khususnya pada musim sejuk.
Pemakaian jersi kemudian merebak ke seluruh United Kingdom dan Eropah Utara selepas pedagang mula bergaul dengan masyarakat tempatan pada akhir abad ke-17 dan awal abad ke-18.
Menjelang 1850-an, nama jersi akhirnya menjadi sinonim dengan ‘sweater’ dan penggunaannya telah merebak ke negara-negara jauh seperti Amerika Syarikat.
Pada peringkat ini, jersi masih kelihatan seperti baju sejuk tebal dan tahan lasak.
Apabila American Football mula menjadi popular, jersi dilihat sebagai pakaian yang sesuai untuk sukan berkenaan.
Cara permainan tersebut dimainkan pada ketika itu dikatakan kasar dan lasak. Justeru, pakaian yang tebal serta tahan lasak diperlukan oleh pemain. Maka sebab itulah jersi dipilih.
Selepas itu, sukan-sukan lain seperti hoki, golf dan sebagainya turut mengikut jejak langkah American Football.
Menjelang separuh akhir abad ke-19, istilah jersi menjadi sinonim dengan istilah uniform olahraga, dan tidak lagi dirujuk sebagai baju sejuk seperti pada abad ke-18.
Seiring berlalunya waktu, inovasi fabrik baharu yang diperbuat dari poliester telah muncul.
Namun begitu, pakaian-pakaian sukan berkenaan walaupun menggunakan bahan yang jauh berbeza kekal dirujuk sebagai jersi.
Terma berkenaan terus kekal sehingga ke hari ini walaupun syarikat-syarikat pembuat pakaian sukan terus melakukan inovasi.
BACA: Masa gunung berapi meletus mesti ada kilat menyambar, ini penjelasannya