Kadar inflasi Malaysia naik 4.4% sejak bulan Mei 2021. Walaupun kita ada simpanan sebanyak RM10,000, kuasa beli kita hanyalah RM9,560. Salah satu cara untuk menyelamatkan duit kita dari dihakis inflasi adalah dengan memiliki aset.
Tengok macam mana orang dulu-dulu ‘simpan’ duit? Mereka beli emas dan tanah. Sejak zaman dahulu lagi, emas dijadikan sebagai sumber pelaburan.
Bukan mereka yang T20 dan M40 sahaja perlu menyimpan emas, tetapi orang miskin juga perlu. Nak tahu kenapa?
1. Dapat Mengelakkan Kebocoran Wang
Duit adalah tetap duit. Sifatnya adalah untuk dihabiskan, bukan untuk disimpan.
Emas sememangnya diperlukan oleh orang miskin untuk mengelakkan kebocoran wang. Maksud bocor di sini bukan dompet kita koyak. Bila kita simpan duit, tapi duit tetap hilang. Sebabnya kita ‘terbelanja’.
Bila beli emas bermaksud kita berjaya selamatkan duit gaji sebelum ‘terbelanja’.
2. Dapat Dijadikan Simpanan
Selain itu, emas juga boleh dijadikan simpanan kekal. Berbanding dengan matawang kertas, nilai emas adalah kalis inflasi. Tambahan pula, nilainya juga semakin naik dari tahun ke tahun dan sangat berbaloi untuk dijadikan sebagai simpanan.
3. Dapat Dijadikan Aset
Kita sedia maklum bahawa untuk kembangkan duit, kita perlu melabur. Emas adalah antara instrumen yang boleh dipilih dan sesuai bagi anda yang baru nak bermula menyimpan aset. Emas mampu untuk memberi pulangan yang tinggi sekiranya disimpan untuk jangka masa yang panjang.
Simpan emas tak dapat dividen. Keuntungan penyimpan emas adalah apabila harga emas meningkat dalam jangka masa panjang. Mulakan sedikit demi sedikit.
Beberapa syarikat telah memperkenalkan pelaburan emas mampu milik. Jadi dengan serendah 1 gram, ia juga boleh dijadikan sebagai aset pelaburan emas. Jika anda tidak percaya, anda boleh mencuba platform jual beli emas yang ada di Malaysia.
4. Dapat Menaik Taraf Hidup
Ramai yang beranggapan bahawa menyimpan emas adalah untuk golongan yang kaya-raya. Sebenarnya, dengan menyimpan emas dapat menaik taraf hidup seseorang kerana harga emas berpotensi untuk semakin naik.
5. Digunakan Sebagai Modal Pusingan Perniagaan
Sekiranya anda berdepan dengan kecemasan dan ingin mendapatkan wang dengan segera, emas amat mudah dicairkan. Bila-bila masa pun ia boleh ditukar kepada duit.
Emas juga boleh digunakan sebagai modal pusingan perniagaan. Caranya adalah dengan menggadai emas yang disimpan dan apabila keuntungan perniagaan tersebut bertambah, maka gandakan lagi simpanan emas tersebut.
Kontrak gadaian yang ada pada masa ini ada dua kategori iaitu kontrak gadaian konvensional dan dan kontrak gadaian Islam. Kontrak gadaian Islam merupakan alternatif utama bagi umat Islam kerana ia bebas dari sebarang unsur gharar (tidak jelas) dan riba.
Kesimpulannya, emas merupakan pilihan yang rendah risiko bagi yang baru nak bermula melabur. Namun, dengan pemikiran negatif sesetengah masyarakat kita tentang emas telah menyebabkan ia tidak dijadikan sebagai ‘life jacket’ di dalam kehidupan.