Ramai peminat bola akan memberi tumpuan terhadap aksi dan corak permainan yang ditampilkan oleh pasukan ketika dalam perlawanan.
Rata-ratanya, kedua-dua belah mata akan tertumpu pada pergerakan bola serta nama dan nombor yang tertera pada baju pemain.
Bagi segelintir penonton yang lebih peka, anda akan perasan satu keanehan pada pemain-pemain ini iaitu, ada di antara mereka memakai stoking berlubang-lubang pada bahagian betis.
Hakikatnya, gaji mereka lebih daripada cukup untuk membeli sepasang stoking, jika stoking yang dipakainya mengalami kerosakan.
Atau, mereka sendiri yang memilih untuk membuat lubang-lubang pada stoking tersebut? Jika ya, apakah sebab mereka berbuat sedemikian kerana rata-rata manusia sudah semestinya akan merasa tertekan apabila melihat stokingnya koyak.
Dah elok kejadian asalnya tetapi kenapa pemain bola masih nak buat lubang stoking sendiri?
Antara sebabnya adalah tindakan tersebut dipercayai dapat memastikan aliran darah berjalan dengan lancar.
Memetik portal Goal, pemakaian stoking sememangnya dapat membantu pemain untuk mengurangkan tekanan pada otot betis.
Seperti yang diketahui, stoking yang ketat sudah semestinya memberikan kesan kepada pemain bola yang memiliki otot yang besar pada bahagian kaki.
Hal ini menyebabkan stoking ‘mencengkam’ kaki pemain dan seterusnya memberikan tekanan pada bahagian tersebut.
Oleh sebab itu, para pemain sering membuat lubang pada stoking bagi mengelakkan masalah tersebut dan seterusnya menambah baik kualiti permainan mereka.
Manakala, pemain bola pada peringkat elit berbuat sedemikian bagi mengelakkan kaki mereka mengalami kekejangan sewaktu perlawanan.
Pemain terkenal yang membuat lubang pada stoking sendiri
Pemain skuad England, Jude Bellingham merupakan antara pemain bola yang dikesan melakukan amalan ini.
Amalan melubangkan stoking ini mula meraih populariti beberapa tahun lalu susulan dua pemain pertahanan skuad England, Kyle Walker dan Danny Rose kerap dlihat mengenakan stoking yang berlubang-lubang pada bahagian betis.
Terdahulu, bekas pemain Valencia, Ezequiel Garay dilaporkan pernah dipaksa untuk menukar stokingnya yang berlubang-lubang dengan stoking baharu.
Hal ini kerana, pengadil ketika itu merasakan pemakaian stoking berlubang itu tidak bersesuaian dengan etika pemakaian dalam sukan.
Manakala, beberapa pemain seperti Jack Grealish dilaporkan telah memakai stoking pada paras yang lebih rendah.
BACA: Pemain bola sepak kebangsaan kantoi ceroboh bilik hotel isteri orang