Kenapa Shah Alam juga yang dipilih jadi ibu negeri? Bukan saja-saja rupanya

Jika anda masih ingat, pelajaran Kajian Tempatan atau kini telah diganti dengan Sejarah di sekolah rendah, kita pelajari tentang ibu negeri bagi setiap negeri.

Adakah anda masih ingat ibu negeri bagi setiap negeri di Malaysia?

Sekadar perkongsian, berikut senarai ibu negeri yang telah diisytiharkan dalam sejarah negara tercinta kita.

Kenapa Shah Alam juga yang dipilih jadi ibu negeri? Bukan saja-saja rupanya

Bermula dari utara, Kangar merupakan ibu negeri Perlis, Alor Setar pula ibu negeri Kedah, Georgetown bagi Pulau Pinang, dan Ipoh bagi negeri Perak. Bahagian timur pula, Kota Bharu merupakan ibu negeri bagi Kelantan, Kuala Terengganu bagi Terengganu dan Kuantan bagi Pahang.

Di bahagian selatan, kita dapat lihat Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor, Seremban bagi Negeri Sembilan, Bandar Melaka bagi Melaka dan Johor Bahru bagi negeri Johor.

Jauh di kepulauan Borneo, ibu negeri bagi Sabah ialah Kota Kinabalu manakala Kuching merupakan ibu negeri Sarawak.

Dalam banyak-banyak ibu negeri, kali ini SK ingin kongsikan sejarah terpilihnya Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor. Sejarah ini berkait rapat dengan sejarah pembentukan Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur.

Apakah kaitan pembentukan Shah Alam dengan WP Kuala Lumpur? Mengapa Kuala Lumpur menjadi wilayah persekutuan dan bukannya diisytihar sebagai ibu negeri Selangor?

Peranan negeri Selangor dalam pembentukan dan perkembangan Malaysia amat penting. Hal ini berkait rapat dengan pembangunan Selangor yang mendahului negeri-negeri lain.

Kuala Lumpur telah menjadi pusat pentadbiran bagi Persekutuan Tanah Melayu dan pusat kegiatan perdagangan, perniagaan dan perbankan sejak sebelum menjadi wilayah persekutuan lagi.

Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSASS), Shah Alam. Kredit: Kerajaan Negeri Selangor

Pada asalnya, Bangunan Sultan Abdul Aziz Samad yang berhadapan dengan Dataran Merdeka merupakan tempat pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Namun apabila Almarhum DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menandatangani Perjanjian Wilayah Persekutuan bagi penubuhan WP Kuala Lumpur pada 1 Februari 1974, Selangor tidak lagi mentadbir Kuala Lumpur.

Pentadbiran WP Kuala Lumpur diserahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan dan menjadi ibu negara Malaysia.

Kehilangan pusat terpesat di Selangor menjadikan kerajaan negeri mencari kawasan baru yang boleh dibangunkan dan dijadikan pusat pentadbiran negeri.

Terletak kira-kira 25 km ke arah barat daya Kuala Lumpur, sebuah kawasan yang dikenali sebagai Sungai Renggam dipilih berdasarkan lokasinya yang strategik untuk dijadikan pusat pentadbiran.

Penetapan lokasi ini turut meliputi kawasan Batu Tiga yang telah menjadi pusat perladangan tanaman kelapa sawit dan getah sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu.

Selepas itu Sultan Selangor berkenan menamakan semula Sungai Renggam sebagai Shah Alam sempena nama Almarhum ayahanda baginda, DYMM Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.

Jadi begitulah kisahnya pembentukan Shah Alam sebagai ibu negeri Selangor. Semoga bermanfaat.

Sumber: Kerajaan Negeri Selangor (1), (2)

BACA: Penerbangan paling mendebarkan! Harungi 14 jam lalu lautan pasifik