Kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengekalkan keputusan tiada kerjasama bersama PKR dan DAP diharap menutup semua spekulasi serta cakap-cakap tentang hala tuju UMNO dalam mendepani isu politik semasa.
Bekas Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad menegaskan, Presiden UMNO itu juga sekali gus menjelaskan isu sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Dalam hal ini kita semua harus menghormati pendirian UMNO dan kita harus memberikan ruang seluas-luasnya kepada Ahmad Zahid untuk beliau memainkan peranan seberkesan mungkin dalam usaha membantu kerajaan semasa.
“Sudah jelas lagi bersuluh, UMNO pimpinan Ahmad Zahid melihat kepada kepentingan masa depan rakyat dan negara yang lebih baik berbanding terus berpolemik dengan isu-isu politik yang merugikan rakyat.
“Kocakan politik yang berlaku seketika baru-baru ini harus dikesampingkan dan kita semua perlu menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar rakyat didahulukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
BACA: Gadai prinsip UMNO jika kerjasama dengan Anwar, DAP – Annuar Musa
BACA: UMNO terus sokong kerajaan PN, saran agar Rekonsiliasi Nasional segera dilaksanakan
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Isnin mengambil keputusan akan terus mendukung kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.
UMNO turut mengekalkan keputusan terdahulu iaitu menjalin kerjasama tanpa PKR dan DAP.
Dalam pada itu, Ahmad Masrizal berkata, Ahmad Zahid mempunyai pasukan yang besar, kuat dan berpengalaman dalam kerajaan PN.
“Sama ada kita suka atau tidak, hakikatnya pastilah beliau mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam mencorakkan senario politik negara.
“Kita semua juga perlu menjunjung tinggi tanpa sebarang soal akan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah yang perlu dihayati oleh semua pihak demi sebuah negara bangsa yang terbaik,” jelasnya.
BACA: Tiada keperluan isytihar darurat – Istana Negara
Terdahulu, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan ahli UMNO supaya tidak menggadai prinsip asas parti tersebut, sambil menegaskan kepentingan istiqamah dalam perjuangan parti.
Menerusi satu ciapan di laman Twitter peribadinya, Annuar menegaskan UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya merupakan satu wadah perjuangan.
Berita penuh: https://www.astroawani.com/berita-politik/kenyataan-ahmad-zahid-tutup-spekulasi-hala-tuju-umno-dr-ahmad-masrizal-265480