Kepelbagaian Bisnes Tanpa Modal Tinggi

Kepelbagaian Bisnes Tanpa Modal Tinggi

Kaitkan apa saja perniagaan zaman sekarang, modal adalah perkara utama terlintas di fikiran.

Bajet antara RM5,000 hingga RM10,000 sekurang-kurangnya perlu ada dalam tangan dan jumlah itu pasti agak membebankan bagi kita yang hanya kerja makan gaji.

Kebanyakan daripada kita mungkin tidak mempunyai simpanan yang banyak, justeru terpaksa lupakan hasrat untuk memulakan bisnes sendiri.

Ada perniagaan yang memerlukan kos sewa kedai dan kakitangan pekerja, ada juga memerlukan dana tinggi untuk kos kajian produk dan pengilangan.

Itu membabitkan perniagaan besar-besaran. Bagaimana memulakan secara kecil-kecilan?

Ada beberapa kategori bisnes yang boleh dipertimbangkan sebagai kerjaya tetap masa depan.

Menariknya, idea bisnes ini boleh dicambahkan tanpa perlu keluarkan modal atau sekurang-kurangnya dengan modal amat rendah.

Teliti yang mana ada hubung kait dengan anda, usaha untuk jayakannya.

BISNIS TANPA MODAL

Boleh dikatakan sesiapa saja mahu memiliki perniagaan sendiri kerana melihat kekayaan ahli perniagaan sedia ada.

Hakikatnya memang benar, apa saja usaha boleh mendatangkan hasil walaupun kita berasal dari kampung. Penceramah dan pakar motivasi boleh dikategorikan dalam bidang perniagaan ‘air liur’.

Mungkin kedengaran sinis, tetapi ungkapan ini sudah biasa diguna pakai dalam masyarakat.

Diakui bisnes ini tidak memerlukan modal, hanya pengalaman dan ilmu pengetahuan yang ada.

Ilmu sebagai modal untuk berceramah. Jika kurang modal tidak boleh berniaga. Oleh itu, ada segelintir penceramah kerap mengulangi isi atau cerita yang sama sehinggakan pendengar sudah hafal isi ceramah dan bentuk lawak jenakanya.

Walaupun tiada premis perniagaan dan tanpa kakitangan, anda boleh bermula secara berseorangan.

Kumpul pengalaman dan ilmu sebanyak mungkin dan cubalah berjinak-jinak dalam bidang ini.

BISNES e-Buku

Sukar untuk membuat keputusan dalam menukar kerjaya. Bagi anda yang berani berhadapan risiko, cuba beralih ke perniagaan Internet berkos rendah iaitu e-buku.

Apa itu e-buku? e-buku adalah produk berbentuk digital. Ia adalah maklumat lengkap seperti buku, tetapi dimuatkan dalam perisian komputer.

Melihat kepada penggunaan internet dalam kalangan anak muda sekarang, bisnes ini berpotensi untuk memberi pulangan lumayan.

Buku tidak akan tamat tempoh, malah ia akan diguna pakai sampai bila-bila oleh generasi pelapis. Industri maklumat terus berkembang maju selari dengan permintaan setiap masa dan zaman.

Sebagai bakal usahawan anda perlu tahu untuk mengikut permintaan.

BISNES ‘DROPSHIP’

Model bisnes ini sering diguna pakai peniaga kecil-kecilan di Internet atau media sosial Instagram.

‘Dropship’ adalah kaedah perniagaan yang memerlukan anda menjual produk bagi pihak orang lain. Bahasa lebih mudah adalah anda berfungsi sebagai ‘orang tengah’.

Bisnes ini tidak memerlukan modal kerana anda hanya perlu berurusan dengan pembekal produk dan mempromosikan barangan itu dalam laman web anda.

Jika ada pelanggan yang ingin membuat tempahan, ia perlulah membayar kepada anda, tetapi barang itu dihantar terus kepada mereka oleh pembekal.

Keuntungan diperoleh kerana anda tidak perlu menyimpan stok barang dan menanggung modal.

Bisnes ini makin popular khususnya membabitkan perniagaan makanan ataupun pakaian.

Tanpa perlu mengeluarkan wang walaupun RM1, cuma perlu mengaktifkan akaun atau laman web sendiri dan mencari pembekal untuk dijadikan ‘bos’ anda. Mudahkan? Selamat mencuba!

GUNA KREATIVITI SENDIRI

Itu antara bisnes yang boleh anda pertimbangkan. Ada beberapa lagi yang boleh ditambah baik mengikut kreativiti dan kelayakan anda.

Antaranya bisnes ejen baju-T untuk sekolah atau universiti, bisnes terjemahan dan bisnes penulisan iaitu dengan menghasilkan penulisan menarik melalui pengalaman sendiri.

Karya ini boleh dijual kepada majalah atau surat khabar untuk dikongsikan dengan pembaca lain.

BACA JUGA:

Pasukan penyelamat Malaysia tiba di Gaziantep, tidak dapat masuk ke ’ground zero’

Hassan Karim tuntut janji Anwar letak SPRM bawah parlimen

IPT disarankan mempunyai mekanisme pastikan hasil kerja pelajar tulen, tidak dihasilkan oleh teknologi sepenuhnya