Kerajaan PN wajib jawab benarkah mereka serah projek KVDT2 pada syarikat China, dakwa DAP

Loke Siew Fook (DAP-Seremban) menggesa Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong menjawab tuduhan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Dhaya Maju-LTAT (DM-LTAT), Mohamed Razeek Md Hussain Maricar yang difailkan di mahkamah berhubung penyerahan sub kontrak kepada “syarikat China”.

Loke yang membaca afidavit difailkan Mohamed Razeek pada 27 Oktober lalu bagi menyokong injunksi memberhentikan pembatalan itu berkata, kontrak syarikat Dhaya Maju dibatalkan kerana tidak memenuhi permintaan menteri pengangkutan.

“Ini merupakan tuduhan yang sangat serius terhadap menteri pengangkutan sekarang. Ini bukan surat layang, bukan tuduhan melalui WhatsApp tetapi afidavit bersumpah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Apakah benar kontrak syarikat ini dibatalkan kerana syarikat tersebut tidak memenuhi permintaan menteri pengangkutan,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 25 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu kerajaan sudah mengeluarkan surat penamatan kepada Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd, berkaitan 1 kontrak bagi projek Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2).

Projek KVDT2 dihentikan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari lalu walaupun syarikat itu sudah menyiapkan 24% projek berkenaan dan kerajaan sudah membuat pembayaran progresif lebih RM93 juta.

Loke berkata, jika tuduhan seperti itu dilemparkan terhadap menteri daripada DAP atau ketika beliau menteri pengangkutan, sudah tentu akan dilabel sebagai menjual kepentingan kepada China dan “memangsakan” kontraktor Bumiputera.

“Keputusan pembatalan yang tidak berasas ini akan menyebabkan 8,512 pekerja hilang pekerjaan dan memberi kesan negatif kepada 261 syarikat pembekal dan sub kontraktor yang kebanyakannya terdiri daripada syarikat Bumiputera,” katanya.

Beliau menyeru Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyiasat perkara itu secara mendalam dan mengambil tindakan sewajarnya, memandangkan perdana menteri bersama beberapa menteri sekarang ini membuat keputusan meneruskan projek berkenaan dalam Kabinet PH.

Projek itu mendapat perhatian selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan 101 kontrak yang dikatakan dibuat melalui proses rundingan terus bawah pentadbiran kerajaan PH.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/17/menteri-pengangkutan-perlu-jawab-kontrak-kvdt2-diserah-kepada-syarikat-china/