Kerajaan putuskan hari ini status kelayakan masuk pelancong daripada China. Malaysia bersiap siaga menerima kemasukan pelancong asing khususnya dari China yang berdepan lonjakan penularan COVID-19 jika mesyuarat Kabinet esok, memutuskan untuk membenarkan kemasukan pengembara dari negara itu.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata sebarang ketetapan baharu, langkah tambahan termasuk mewajibkan ujian COVID-19 atau perubahan prosedur operasi standard (SOP) menerima kemasukan pengembara terbabit akan diputuskan Kabinet.
Beliau juga sudah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini bagi memberi taklimat berkait isu berkenaan.
“Insya-Allah, esok ada mesyuarat Kabinet dan saya sudah jumpa Perdana Menteri hari ini dan bentangkan semua fakta serta kemungkinan yang peroleh.
“Kita harap ada keputusan terbaik yang akan mengimbangi sudut sains dan data serta persepsi masyarakat.
“Keputusan ini adalah keputusan bersama, R-naught (kadar belolehjangkitan) atau tidak adalah dari sudut data yang kita terima.
“Dari sudut kesihatan kita pantau, hari-hari saya di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) bagi memantau dan melihat data semasa, termasuk untuk negeri lain.
“Ini penting dilakukan bagi memastikan semua dalam keadaan selamat.
“Dalam taklimat yang diberi kepada Perdana Menteri, kita akan kekalkan apa yang dilakukan hari ini tetapi jika esok Kabinet ada pandangan lain, kita lihat keputusan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, kemarin.
Dr Zaliha antara lain memantau kesiapsiagaan kedua-dua lapangan terbang itu menerima kedatangan pelancong asing.
Beliau berkata, sebarang langkah tambahan perlu dibincang secara lebih komprehensif, membabitkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan kementerian serta agensi lain.
“Input membabitkan daripada semua pemegang taruh termasuk melihat aspek ekonomi, pelancongan dan keselamatan dalam negara.
“Kita tidak boleh beri pandangan lebih awal dan buat masa ni akan kekalkan apa yang kita lakukan sekarang,” katanya.
Beliau turut berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan di pintu masuk utama negara bagi menerima kemasukan pengembara dari luar.
Dr Zaliha berkata, kemasukan pelancong luar akan dipantau tanpa diskriminasi dan melaksanakan pengimbasan suhu serta pemantauan gejala demam bagi ketibaan dari luar.
Awal bulan lalu, China menamatkan dasar sifar-COVID bagi membendung wabak berkenaan dengan pembukaan semula sempadan negara itu.
Bagaimanapun, penamatan dasar itu turut menyaksikan peningkatan kes dan kematian di China akibat wabak yang disebabkan oleh subvarian Omicron, BA.5 yang lebih berbahaya.
Susulan itu, Malaysia menetapkan pengembara yang tiba dari luar negara perlu melalui saringan demam di pintu masuk antarabangsa (PMA) manakala sampel air kumbahan pesawat dari republik itu juga akan diambil.
Sampel akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian rantai polimerase (PCR) dan seterusnya untuk penjujukan genom sekiranya positif COVID-19.
KKM juga mempertimbangkan keperluan vaksinasi penuh bagi pengembara dari luar, termasuk China sebagai syarat untuk mereka dibenarkan memasuki negara ini.
BACA JUGA:
PMX umum Bantuan Tunai Rakyat kategori keluarga pada Januari 2023
Takayuki Nishigaya akui berdepan lawan yang sukar, ribuan penyokong Harimau Malaya memberi suntikan