Kertas siasatan dibuka berhubung kubur Bill Kayong dirosakkan. Dicabut dan dirosakkan. Itu yg berlaku kepada batu nisan dan kubur Bill Kayong, aktivis dan ahli politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri yang ditembak mati di sini pada 2016 lalu.
Insiden tersebut disedari oleh orang awam yang kemudiannya membuat laporan kepada pihak polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, Asistan Komisioner Alexson Naga Chabu berkata pihaknya telah menerima satu laporan polis berkenaan insiden tersebut dan membuka kertas siasatan.
Kubur Allahyarham atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah yang terletak di tanah Perkuburan Islam Lambir, itu dipercayai telah dirosakkan dengan sengaja oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
“Perbuatan khianat ini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Pihak polis ingin menasihati masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan isu-isu sensitif di media sosial yang boleh menimbulkan kerisauan, kegusaran yang boleh mengganggu keharmonian dan kesejahteraan bersama,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pihak polis juga meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan insiden berkenaan untuk tampil ke Balai Polis yang berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Daveora Julaimi ditalian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan.
Pada 21 Jun 2016, Bill Kayong yang juga merupakan aktivis tanah hak adat bumiputera meninggal dunia selepas ditembak oleh seorang individu di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Miri-Kuala Baram.
Ketika insiden itu berlaku arwah juga merupakan Setiausaha PKR di bahagian Miri dan berpengalaman bertugas sebagai setiausaha politik kepada bekas Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teoh.
BACA JUGA:
Bom lama ditemui di Yong Peng adalah Bom Perang Dunia Kedua
Tze Yong tewas di tangan Kodai Naraoka, menyebabkan dia tersingkir
Pembahagian kerusi PN untuk PRN akan datang diselesaikan segera