Kes Kematian Adib : Zahid tak puas hati tindakan Kerajaan PN

Dedah dokumen kapal LCS mungkin jejas rahsia negara - Presiden Umno

Presiden Umno Zahid Hamidi mempersoalkan kenapa kerajaan hanya mengemukakan pertuduhan menyertai perhimpunan awam dalam kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Sewajibnya, pendakwaan yang patut dikenakan kepada mereka yang terlibat adalah kesalahan yang berkaitan dengan jenayah membunuh sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Bab 16 Kanun Keseksaan dan bukannya kesalahan himpunan haram,” kata Zahid.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin semalam berkata 12 orang suspek telah dituduh bawah Seksyen 143 Kanun, iaitu berkaitan penyertaan dalam perhimpunan menyalahi undang-undang.

Polis juga mengesyorkan inkues baru diadakan.

Menulis di Facebook, Zahid berkata cadangan tersebut seolah-olah menidakkan keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019 yang memutuskan punca kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Zahid juga berkata pertuduhan bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan hanya memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

“Ini tidak setimpal dengan nyawa seorang Penjawat Awam yang telah dibunuh,” katanya.

Berkaitan cadangan mengadakan semula inkues, Zahid berkata walaupun dibenarkan oleh undang-undang, ia jelas membuang masa dan “melengahkan lagi keadilan” terhadap arwah dan keluarganya.

Muhammad Adib, 24, dari Balai Bomba Subang Jaya, meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari dirawat.

Dia mengalami kecederaan semasa bertugas ketika berlaku rusuhan berkaitan pertikaian kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor, pada 26 Nov 2018.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/537399

COMMENTS

Wordpress (0)