Pemandu lori yang berulang-alik menghantar sayur ke Singapura pun tidak perlu kuarantin diri, kata Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai hujahnya mempertahankan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali.
Timbalan Presiden PAS itu berkata, apa yang paling penting, meskipun Khairuddin tidak melakukan kuarantin wajib selama 14 hari selepas pulang dari Turki, namun dia bebas daripada Covid-19 dan tidak menyebarkan wabak berkenaan.
“Tiap-tiap hari lori bawa sayur masuk Singapura, kena kuarantin ke tak? Tak kena kuarantin. Balik Singapura masuk Malaysia kena kuarantin ke tak? Tak kena.
“Pilot (juruterbang) kena kuarantin ke tak? Pilot hak (yang) bawa kapal terbang, masuk negara ‘nun’ 14 hari masuk negara ini 14 hari tidak kena kuarantin,” katanya dalam satu kuliah subuh yang disiarkan secara langsung di Facebooknya semalam.
Ia diadakan di Masjid Tok Guru di Pulau Melaka, Kota Bharu.
Kelmarin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan Khairuddin dikompaun maksimum sebanyak RM1,000 kerana tidak melakukan kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara.
Kerajaan sebelum ini mewajibkan semua individu dari luar negara menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari, yang merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.
Tak kurung tapi negatif
Khairuddin pulang dari Turki pada 7 Julai lalu dan hadir ke parlimen enam hari kemudian iaitu pada 13 Julai.
Setakat ini tidak ada kenyataan jelas mengenai lawatan berkenaan, sama ada atas kapasiti rasmi atau peribadi.
Kuarantin di pusat kuarantin dikuatkuasakan semula pada 24 Julai, namun sebelum itu mereka yang pulang dari luar negara masih perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari.
Ulama kanan PAS yang menjadi anggota parlimen Kuala Nerus itu berkata ketiga-tiga ujian saringan menunjukkan dia negatif daripada wabak berkenaan.
Selain itu, Khairuddin juga turut memohon maaf dan mengumumkan untuk menyumbangkan gajinya dari Mei hingga Ogos kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Covid-19) atas rasa tanggungjawab.
Khairuddin Aman Razali
Pun begitu ramai orang – termasuk dalam kalangan pemimpin politik – berpendapat tindakan yang dikenakan ke atas Khairuddin sangat ringan dan dia sepatutnya didakwa di mahkamah.
Untuk rekod, kompaun RM1,000 adalah had tertinggi yang diperuntukkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Dr Puad Zarkashi, misalnya beberapa kali mendesak agar Khairuddin didakwa di mahkamah.
Bagaimanapun langkah itu dianggap membuka risiko kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana kelayakan seseorang anggota parlimen akan tergugur jika dikenakan denda RM2,000 atau lebih serta penjara ke atas.
Ia dirasakan perlu dielakkan oleh PN ketika sokongan yang diberikan kepada Muhyiddin Yassin dianggap sangat longgar ketika ini.
Kes membabitkan Khairuddin itu juga mendorong ada pihak tertentu memulakan petisyen dalam talian untuk mendesak dia meletak jawatan.
Sementara itu Tuan Ibrahim bagaimana pun meminta orang ramai mematuhi peraturan yang dibuat oleh kerajaan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.
“Dia (Khairuddin) balik tak kuarantin, tak kurung diri di rumah tapi dia test (ujian saringan Covid-19) tiga kali, tak ada (negatif Covid-19),” katanya lagi.
Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/539830