KKM sahkan akan mula berikan dos keempat. Kementerian Kesihatan (KKM) akan mula memberikan suntikan dos penggalak yang kedua kepada segelintir kelompok individu sebagai kumpulan penerima pertama, berlandaskan syarat tertentu.
Antara kelompok penerima pertama itu merangkumi golongan warga emas yang mempunyai komorbiditi atau sihat tubuh badan, selain pengembara ke luar negara.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika mengumumkan perkara itu berkata pengambilan suntikan imunisasi dos keempat bagi golongan berkenaan adalah atas dasar sukarela.
“Dos penggalak kedua boleh diambil oleh individu berumur 60 tahun dan ke atas, dengan komorbiditi berisiko tinggi dan individu yang mempunyai sistem pertahanan badan berkadar teruk atau sederhana, berumur 12 tahun dan ke atas.
“Syor ini juga termasuk golongan warga emas yang berada di bawah fasiliti penjagaan jangka panjang.
“Bagi individu yang berumur 60 tahun dan ke atas yang sihat dan tidak mempunyai komorbiditi berisiko tinggi, mereka perlu berbincang dengan pengamal perubatan bagi mengesyorkan pengambilan dos penggalak kedua berdasarkan pertimbangan mereka.
“Keputusan ini dibuat selepas Panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) meneliti kajian-kajian santifik serta kajian kohort Malaysia yang menunjukkan bahawa individu berumur 60 tahun dan ke atas dengan komorbiditi seperti penyakit paru-paru, penyakit jantung, penyakit buah pinggang, penyakit hati dan diabetis berisiko lebih tinggi untuk mendapat gejala serius serta kematian berikutan COVID-19,” katanya pada sidang media, hari ini.
Berdasarkan semakan inventori semasa, Khairy berkata KKM mempunyai bekalan sedia ada vaksin jenis Pfizer sebanyak 5.7 juta dos, bagi menampung keperluan suntikan dos penggalak.
Sehubungan itu, katanya, warga emas yang mempunyai komorbiditi berisiko tinggi boleh diberikan dos penggalak kedua, dengan sela masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama.
Bagi individu berusia 12 tahun dan mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, jelasnya, golongan berkenaan boleh mendapatkan suntikan dos penggalak kedua, dengan sela masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua (lengkap suntikan primer).
“Buat masa ini, vaksin mRNA Comirnaty (Pfizer-BioNTech) adalah vaksin yang disyorkan bagi dos penggalak kedua berdasarkan data saintifik.
“Individu berumur 60 tahun dan ke atas yang lengkap mengambil dos penggalak serta didapati mengalami jangkitan COVID-19, mereka layak menerima dos penggalak kedua dalam tempoh tiga bulan selepas mereka pulih sepenuhnya.
“Bagaimanapun, pelaksanaan syor terbaharu ini tidak akan menjejaskan status vaksinasi lengkap individu berisiko tinggi yang tidak mengambil dos penggalak kedua.
“KKM sedang mengemas kini Garis Panduan Klinikal yang akan memperincikan pelaksanaan pemberian dos penggalak kedua,” katanya.
Seiring perkembangan semasa dan pembukaan sempadan, Khairy berkata pihaknya menerima permohonan dalam kalangan individu yang ingin ke luar negara untuk mendapatkan dos penggalak kedua, bagi memenuhi keperluan berkaitan.
Sebagai contoh, katanya, sesetengah negara di benua Eropah yang tidak mengiktiraf vaksin Sinovac dan Sinopharm sebagai dos primer serta dos penggalak, menggariskan syarat pengambilan vaksin primer jenis mRNA.
“Justeru, individu yang ingin ke luar negara boleh diberikan dos penggalak kedua selepas sela masa sekurang-kurangnya satu bulan daripada dos penggalak pertama.
“Sehingga 31 Mac lalu, seramai 701 individu menerima sijil digital pengecualian vaksinasi atas sebab perubatan, maka mereka akan mendapat pengecualian dos penggalak secara automatik.
“Individu yang tidak layak untuk mendapat dos penggalak atas sebab perubatan terutama dalam kalangan penerima dos primer Sinovac/Sinopharm atau warga emas berumur 60 tahun ke atas, dan belum menerima Sijil Digital Pengecualian Vaksinasi COVID-19, mereka perlu membuat permohonan baharu.
“Mereka perlu mendapatkan pengesahan pakar perubatan dan seterusnya membuat permohonan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan dengan mengemukakan slip penilaian kesesuaian menerima vaksin COVID-19 bagi pesakit dengan masalah kesihatan tertentu,” katanya.
BACA:
KWSP khas : Wajib ambil tahu sebelum pengeluaran tunai 20 April ini
Penduduk gempar dengan penemuan berpuluh hidupan laut aneh di pantai
Bomba ‘legend’ ini kongsi tangkap ular senduk paling besar, nasib tak patuk