Konsert Melly Goeslaw 3 Februari di Kuala Lumpur, hasratnya mahu satukan muzik dua negara

Konsert Melly Goeslaw 3 Februari di Kuala Lumpur, hasratnya mahu satukan muzik dua negara. NAMA penyanyi dan komposer ternama dari Indonesia, Melly Goeslaw semestinya tidak asing lagi dalam kalangan peminat muzik tanah air sejak lebih dua dekad lalu menerusi sederetan karya popularnya yang menembusi pasaran Malaysia.

Bagaimanapun sepanjang tempoh itu, pemilik nama sebenar Melliana Cessy Goeslaw itu tidak pernah tampil dengan sebuah persembahan berskala besar untuk peminat di sini.

Justeru sebagai menghargai sokongan peminatnya di Malaysia, Melly bakal tampil dengan sebuah konsert istimewa, Ada Apa Dengan Melly? Live In Kuala Lumpur di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 3 Februari depan.

“Saya kerap kali datang ke Malaysia untuk mempromosikan karya baharu, tetapi tidak pernah mengadakan persembahan besar di sini.

“Jadi mungkin ini adalah waktu tepat untuk tampil dengan sebuah konsert buat mereka yang menerima saya di sini, selain meraikan kembara 30 tahun perjalanan kerjaya muzik saya,” ujarnya yang ditemui ketika sidang akhbar konsert tersebut baru-baru ini.

Menariknya, wanita 48 tahun itu juga memberi gambaran konsert anjuran Icon Entertainment turut akan menyelitkan dedikasi buat idolanya, Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee.

Menurut Melly, kali pertama mendengar karya Allahyarham, dia terus jatuh cinta dan bertekad dalam diri jika mengadakan konsert di Malaysia, dia akan memberikan penghargaan kepada seniman tersebut.

“Sebelum ini ada beberapa pihak melamar saya untuk mengadakan konsert di Malaysia, tetapi saya memutuskan menerima tawaran Icon Entertainment kerana mereka mempunyai visi sama dan menerima syarat saya.

“Syarat itu adalah izinkan saya memberi penghargaan setinggi-tingginya kepada seniman yang sangat genius di negara ini, P. Ramlee. Bagi saya seorang seniman itu keinginannya cuma satu, mahu dikenang.

“Saya juga begitu. Pencapaian sebagai manusia kebanyakannya sudah saya peroleh seperti menjadi isteri dan ibu, namun sebagai seniman saya mahu dikenang bila saya sudah tiada nanti,” katanya.

Ungkap Melly lagi, penganjuran konsert itu diharapkan dapat menyatukan muzik dua negara. Selain suaminya yang akan bertindak selaku pengarah muzik, dia juga akan menggunakan barisan pemuzik Malaysia.

“Saya ingin denyut muzik Indonesia dan Malaysia disatukan dalam satu karya. Jadi bila berdiri di pentas itu, saya mahu muziknya berdenyut bukan hanya kewakili diri saya tetapi juga daripada pemuzik di sini,” tegasnya.

Pada konsert tersebut, Melly tidak hanya menyanyikan lagu-lagu nyanyiannya, tetapi juga karya ciptaan yang dipopularkan oleh penyanyi lain.

“Saya bukan hanya mahu sekadar menyanyi. Kalau hanya mahu menyanyi, di mana-mana pun saya boleh menyanyi.

“Di konsert, saya mahu mempersembahan muzik saya dengan cara saya dan mudah-mudahan ia dapat menghibur, sekali gus memberi memori indah buat semua di sini,” katanya yang akan menyampaikan lebih 30 buah lagu.

Pada konsert yang julung kalinya diadakan di Malaysia itu, peminat diminta mengenakan pakaian seragam sekolah bagi mengikuti tema yang ditetapkan penganjur.

Tiket konsert dijual dengan harga RM288, RM338, RM438, RM538, RM688 daN RM1588 (VIP). Pembelian boleh dibuat menerusi www.ticket2u.com.my.

BACA JUGA:

Hujan lebat, rebut petir landa 9 negeri, rakyat perlu bersedia

Komen Speaker, Azalina berhubung tindakan keluar parti empat pimpinan Bersatu di Sabah

Porsche hamper RM1 juta, kini dimiliki oleh Aisyah Hijanah influencer muda yang juga usahawan dan pendakwah

COMMENTS

Wordpress (0)