KPN jelas isu perlu tunggu 24 jam baru boleh lapor orang hilang

Baru-baru ini, timbul persoalan daripada warganet mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan laporan polis yang perlu dibuat berkenaan kes orang hilang.

Justeru, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, orang awam tidak perlu menunggu sehingga 24 jam untuk melaporkan kes kehilangan ahli keluarga atau kenalan.

Beliau menjelaskan bahawa dakwaan yang mengatakan perlu menunggu sehingga 24 jam selepas kehilangan adalah mitos yang sering disebarkan oleh banyak pihak tanpa asas.

“Tidak ada ketetapan atau undang-undang yang memaksa anda bersabar, bertenang atau bertahan dalam tempoh panjang.

“Ada yang kata perlu tunggu sampai 24 jam, 48 jam hingga 72 jam dalam keadaan gementar serta gemuruh. Ini mitos semata,” katanya pada Khamis.

Menurut beliau, sekiranya sudah melakukan carian terhadap individu yang hilang dan telah cuba menghubungi mereka tetapi gagal, orang awam boleh terus membuat laporan di balai polis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ini adalah sebagai langkah awal untuk mengelakkan kejadian buruk berlaku terhadap individu yang dilaporkan hilang.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan masyarakat agar terus memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat mengenai kes orang hilang.

“Peranan masyarakat sangat dihargai dalam membantu pihak polis.

“Saluran di pelbagai medium kita hebahkan berkait kes orang hilang untuk orang awam bersama kita membantu siasatan kes,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

Baca : Letak jawatan mengejut, KPG kena bayar RM3.16 Juta kepada FAM