Hasrat seorang warga emas untuk menunaikan ibadah haji akhirnya tercapai selepas berpuluh tahun mengumpul wang.
Bekerja sebagai tukang urut bayi, nenek itu bersyukur apabila namanya tersenarai sebagai salah seorang jemaah pada tahun ini.
Berusia 94 tahun, wanita yang dikenali sebagai Nenek Solati itu sudah merancang untuk menunaikan ibadah haji sejak berusia 30 tahun lagi.
Sudah mendaftar haji pada tahun 2018, ibu tunggal yang mempunyai empat orang anak itu juga bekerja sebagai buruh tani untuk mengumpul wang.
Hasil daripada dua pekerjaan tersebut, Nenek Solati akhirnya menyimpan wang berjumlah 56 juta rupiah (RM17,269) untuk kos haji.
Menurut anaknya, Solati yang berasal dari Kampung Menganto, Jawa Timur, Indonesia itu hanya menyimpan wang dalam dompet sahaja.
Namun, selepas dinasihati anaknya yang bernama Tiami, warga emas itu akhirnya bersetuju untuk menyimpan wang tersebut di dalam bank.
Tidak dapat menemani ibunya untuk mengerjakan haji, Tiami yang berusia 54 tahun itu bagaimanapun mendoakan agar ibunya sentiasa sihat.
“Dahulu, wang tersebut hanya disimpan di dalam dompet sahaja. Pada 2015 baru saya ajak ibu menyimpannya di bank.
“Saya sebagai anaknya tidak dapat menemaninya. Saya mendoakan agar dia sihat di sana, dan apabila pulang ke rumah dia juga sihat,” katanya.
Baca juga: Bau minyak diesel dikesan di Sungai Gombak, satu sungai berbuih