Langkah kurangkan hutang negara, hapuskan ketirisan perbelanjaan diutamakan – Ahmad Maslan

Langkah kurangkan hutang negara, hapuskan ketirisan perbelanjaan diutamakan – Ahmad Maslan.

Cadangan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan agar menghapuskan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan sebagai langkah mengurangkan hutang negara perlu diberi keutamaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berpandangan, pelaksanaan itu merupakan kunci utama kepada kejayaan enam lagi cadangan lain yang dikemukakan.

Beliau berkata, ketirisan perlu dihapuskan melalui penerapan nilai integriti yang tinggi dalam kalangan masyarakat dan pemimpin.

“Ini termasuk keupayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan tugas tanpa ada campur tangan politik.

“Ia bakal memberi impak positif kepada ekonomi negara yang akhirnya turut memberi kesan limpahan terhadap pengurangan hutang negara dan peningkatan hasil pendapatan negara.

“Namun sekiranya ketirisan seperti rasuah masih berlaku, maka ia akan merencatkan enam cadangan lain,” katanya.

Pada Rabu, Ahmad mengemukakan tujuh cadangan bagi mengurangkan hutang negara sebanyak RM1.5 trilion antaranya menambah pendapatan kerajaan, mengurangkan ketirisan seperti rasuah, mengetatkan penguatkuasaan seperti menghapuskan penyeludupan, mengurangkan ekonomi gelap, meningkatkan pendigitalan ekonomi dan mengelakkan segala bentuk pembaziran.

Mengulas lanjut, Mohd Faisol berkata, sekiranya ketirisan berjaya dihapuskan, kepercayaan pelabur semakin tinggi terhadap apa sahaja projek pembangunan ekonomi negara.

“Mereka akan datang melabur dalam negara dan pelaburan yang dibawa oleh pelabur asing akan meningkatkan permintaan terhadap ringgit dan juga merangsang ekonomi domestik.

“Ini akan turut memberi kesan kepada penggunaan isi rumah yang akhirnya keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara akan terus berkembang mampan disandarkan dengan nilai ringgit yang semakin kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),” jelasnya.

Ujar beliau, kadar cukai yang mesra pelabur perlu diperkenalkan untuk menarik pelabur datang dan kekal melabur dalam negara.

“Secara keseluruhannya, ini akan mewujudkan permintaan agregat yang positif seterusnya meningkatkan hasil kerajaan.

“Jika hal ini terjadi maka enam lagi cadangan lain akan mampu dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Selain itu, tambah Mohd Faisol, pendigitalan ekonomi juga dilihat mampu mengurangkan banyak kos kepada sektor kerajaan ataupun swasta.

Sementara itu, menurut Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, kesemua tujuh cadangan itu boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan sekiranya ia dimasukkan dalam dasar-dasar sedia ada.

Jelas beliau, antaranya termasuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) supaya ada pemantauan, pelaporan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pelaksanaan cadangan-cadangan tersebut.

BACA JUGA :

COVID-19: 318 kes baharu dilaporkan, tiada kematian

Budak lelaki Bangladesh ditemui terperangkap dalam kontena

Pokok tumbang, seorang remaja perempuan maut akibat terhempap

COMMENTS

Wordpress (0)