Kesihatan merupakan salah bentuk anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambaNya untuk menjalankan pelbagai aktiviti harian.
Namun, anugerah ini kadangkala tidak dapat dinikmati secara terus kerana ada ketika kita jatuh sakit bahkan memerlukan bantuan orang lain seperti makan, tukar pakaian, dan mandi kerana tidak dapat bergerak atau lumpuh.
Melihat keadaan ini tentunya menimbulkan rasa simpati lebih-lebih lagi orang tersebut ahli keluarga kita sendiri.
SK hari ini akan berkongsikan tip yang disampaikan oleh seorang pemuda di akaun TikToknya, @alifr0z tentang bagaiman mandikan pesakit yang terlantar di atas katil.
Tip mandikan orang sakit yang terlantar
Menurut Alif, sekiranya penjaga atau waris tidak mampu membawa pesakit untuk mandi di bilik air, mereka juga boleh melakukannya di atas katil sahaja.
Perkara ini bukan sahaja tidak membebankan penjaga, malah lebih memudahkan kedua-dua belah pihak.
Peralatan yang diperlukan juga tidaklah terlalu banyak kerana ia hanya menggunakan dua baldi kecil dan tiga kain kecil sahaja.
Cara mandikan pesakit
Jelasnya, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah isikan air ke dalam dua bekas baldi dan satu baldi itu masukkan sabun mandi.
Kemudian, gunakan dua kain untuk setiap baldi (satu untuk air biasa dan satu untuk air sabun). Manakala satu lagi kain digunakan untuk lap atau mengeringkan badan.
“Cara mandikan mudah je, pertama sekali kita lap pakai air sabun.
“Kemudian, kita lap pakai air biasa. Setelah itu kita tekap pakai towel untuk keringkan. Jadi kita nak mulakan mana dulu? Saya sentiasa mulakan dengan muka dulu dan diikuti dengan kedua-dua tangan.
“Kalau pakai pampers buka dulu dan bolehlah kita basuh bahagian depan badan dan kedua-dua kaki terus,” katanya sambil melakukan simulasi memandikan pesakit.
Dalam klip tersebut, dia turut menjelaskan penukaran lampin antara bahagian paling sukar.
“Okay bahagian ini susah sikit, sebab saya akan tukarkan pampers sebelum mandikan belakang badan.
“Sediakan pampers baru, pusingkan pesakit kita dan kita akan pakai tisu basah sahaja untuk lap kemaluan.
“Dah siap lap gulungkan pampers lama ke bawah badan, masukkan pampers baru bawah pampers lama tadi dan bolehlah mandikan belakang badan macam biasa.
“Buat sama juga untuk bahagian lagi satu. Bersihkan pakai tisu basah, buang pampers lama dan mandikan belah belakang badan macam biasa. Pakaikan pampers baru tadi dan akhir sekali, barulah saya basuh ketiak pula,” ujarnya dalam video tersebut.
Semoga bermanfaat.
Baca juga: Masih merajuk, Yusof Haslam harap Syamsul terbuka hati jumpa mak ayah