Lelaki maut ditembak polis Serawak bukan individu dikehendaki

Bedah siasat ke atas lelaki yang maut ditembak polis di Jalan Simpang Tiga-Batu Lintang di sini, Rabu lalu mengesahkan kematiannya akibat luka tembakan.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh yang termasuk keputusan pengambilan dadah dan alkohol.

“Lelaki berusia 24 tahun itu dibedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) dan terdapat kesan tembakan di bahagian paha dan ususnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Aidi turut memberitahu lelaki itu mempunyai rekod jenayah, namun bukanlah individu yang dikehendaki polis.

“Dia memang ada rekod jenayah, namun kesemua kes berkenaan sudah selesai,” katanya.

Menurutnya, anggota polis yang melepaskan tembakan berkenaan sudah ditukar tugas ke bahagian pentadbiran sementara siasatan dijalankan.

Lelaki maut ditembak polis Serawak bukan individu dikehendaki

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang lelaki maut selepas ditembak polis berhampiran Jalan Simpang Tiga-Batu Lintang, di sini pada Rabu lalu.

Aidi dipetik berkata, ketika kejadian, lelaki itu yang memandu Proton Saga dikatakan cuba melarikan diri selepas diarah berhenti untuk pemeriksaan, menyebabkan pasukan peronda polis (MPV) mengejarnya.

Lelaki berkenaan juga bertindak melanggar beberapa kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat Jalan Simpang Tiga.

Polis melepaskan tembakan ke arahnya selepas dia cuba merempuh anggota apabila kenderaannya didekati.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.