Makin banyak pula isu yang membabitkan kenderaan udara kerap berlaku.
Kali ini ia membabitkan lima kapal terbang yang hampir bertembung namun dapat diselamatkan dengan ketangkasan juruterbang yang bertugas.
Lima pesawat nyaris bertembung selepas sebuah pesawat Swiss Air mengalami kesilapan komunikasi, yang meletakkan kesemuanya di landasan sama secara serentak di Lapangan Terbang JFK, lapor akhbar New York Post semalam.
Juruterbang penerbangan Swiss Air ke Zurich yang dibenarkan berlepas pada 17 April lalu, segera menekan brek selepas menyedari kawalan trafik udara mengosongkan laluan untuk empat pesawat lain, lapor laman berita ABC 7.
Rakaman audio kokpit mendedahkan detik juruterbang yang mengendalikan pesawat berkenaan menolak untuk berlepas setelah melihat pesawat lain sedang bergerak di landasan sama.
“Swiss 17k menolak untuk berlepas. Trafik (berada) di landasan,” balas juruterbang kepada pusat kawalan trafik udara.
Syarikat penerbangan itu memuji tindakan pantas kakitangannya yang membatalkan penerbangan dan mengelak tragedi yang berlaku di lapangan terbang New York itu.
“Disebabkan tahap kesedaran yang tinggi dan tindak balas pantas kru kapal kami, situasi yang berpotensi berbahaya dapat dielakkan dengan segera,” kata syarikat Swiss Air dalam satu kenyataan.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian itu.
Baca juga : Search buang penyanyi asal