Lepas ni pembangkang jangan sibuk tuntut peruntukkan Ahli Parlimen

Tuntutan Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini yang mahukan peruntukkan diberikan juga kepada mereka menemui jalan mati apabila baru-baru ini Ketua Pembangkang mengumumkan untuk menolak MOU yang ditawarkan oleh kerajaan.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Sr Dzulkefly Ahmad (gambar) ketika dihubungi memaklumkan bahawa tidak perlu lagi tuntutan terhadap peruntukkan Ahli Parlimen itu bergema di Dewan Rakyat.

Jelasnya, ini kerana peruntukkan tersebut hanya boleh diluluskan apabila pihak pembangkang secara ‘en bloc’ bersetuju untuk menanda tangani MOU berkenaan.

“Dah kalau tolak MOU tu janganlah sibuk nak tuntut peruntukkan Ahli Parlimen lagi, itu syarat yang ditetapkan.

“Harapnya lepas ni sidang Dewan Rakyat dah reda la dengan isu tuntutan peruntukkan Ahli Parlimen pembangkang.

“Rasanya dah tak perlu jugalah untuk Ahli Parlimen pembangkang berlari hanya semata-mata membawa gimik tuntutan peruntukkan,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa yang sama, Dzulkefly juga menjelaskan bahawa MOU tersebut dibuat bagi mengawal suhu politik yang tak pernah reda.

Tambahnya, kerajaan dan pembangkang harus bersama berganding bahu membina negara bukanlah terbabit dengan perbalahan peribadi seperti peruntukkan Ahli Parlimen pembangkang semata.

“Pembangkang kena jadi kumpulan yang matang serta mampu membantu kerajaan dalam memacu negara seperti memberikan idea-idea serta kritikan yang membina bukan hanya sibuk dengan peruntukkan sahaja.

“Kena faham MOU itu dibuat bagi mengurangkan permainan politik pintu belakang yang tak habis-habis, ini penting sebab kestabilan itu akan membantu negara untuk terus ke depa bagi bersaing dengan tuntutan global hari ini.

“Jadi mudahnya, tiada MOU tiadalah peruntukkan kepada Ahli Parlimen pembangkang,” katanya lagi.

Baca juga : Aminolhuda jangka calon PN mainkan isu 3R