Letak jawatan mengejut, KPG kena bayar RM3.16 Juta kepada FAM

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon perlu membayar pampasan sebanyak RM3.16 Juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas meletak jawatan berbaki 17 bulan kontrak.

Perkara ini dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi dalam satu laporan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom baru-baru ini.

Menurut Datuk Yusoff, pihaknya tidak terburu-buru dalam membuat keputusan kerana mengambil kira sumbangan jurulatih dari Korea itu untuk skuad kebangsaan.

“Kita pun melihat faktor sumbangan beliau terhadap skuad kebangsaan. Kita tidak terburu-buru untuk mengambil sebarang keputusan dari segi perundangan.

“Perkara ini berlaku sangat pantas. Kita nampak jurulatih pun nak pergi cepat. Kita sudah membawa perkara ini ke mesyuarat exco. Kim Pan-gon juga sudah diberi kesempatan untuk berjumpa exco,” kata Datuk Yusoff.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mengakui terkejut dengan keputusan Pan-gon meletak jawatannya selaku Ketua Jurulatih Harimau Malaya.

Hamidin yang merupakan Chef de Mission (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024 kini berada di Sepanyol bagi memantau skuad berbasikal trek negara, sempat mengadakan pertemuan dengan pemangku ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente di Mallorca.

“Kebetulan juga Pau Marti sedang pulang bercuti di Sepanyol dan saya terus menghubungi beliau untuk datang ke Mallorca, hari ini bagi membincangkan serba sedikit hala tuju pasukan dan perancangan beliau selepas diumumkan sebagai pemangku ketua jurulatih kebangsaan bagi menggantikan Pan Gon.

“Biarpun kami berdua masih terkejut dengan keputusan drastik Pan Gon untuk meninggalkan pasukan, Pau Marti menyatakan bahawa beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab baharu ini dan mempunyai misi untuk terus memperkasakan skuad Harimau Malaya,” kata Datuk Haji Hamidin.

Pau Marti akan dibantu oleh E. Elavarasan dan antara tugas mereka ialah memastikan ranking FIFA terus dapat diperbaiki, selain persiapan bagi menghadapi Pestabola Merdeka 2024 pada September ini dan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, November depan.

Baca : Terkejut tahu juara dunia dari Malaysia nak buat ini dengan duit RM4.7 Juta