LHDN perkenal e-invois, tapi apa itu e-invois?

Dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi negara, e-Invois bakal dilaksanakan secara berperingkat bermula Ogos 2024 bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai di Malaysia. E-Invois adalah representasi dalam bentuk digital untuk segala transaksi yang dijalankan antara penjual dan pembeli. Dengan penggunaan e-Invois ini, tiada lagi penggunaan dokumen kertas atau elektronik seperti PDF, JPEG, DOC, dan sebagainya.

E-Invois akan merangkumi maklumat penting yang sama seperti dokumen tradisional seperti butiran penjual dan pembeli, keterangan item, kuantiti, harga tanpa cukai, cukai, dan jumlah keseluruhan. Ia juga membolehkan pengesahan serta penyimpanan transaksi secara ‘real-time’ dan memenuhi pelbagai jenis transaksi termasuk perniagaan-ke-perniagaan (B2B), perniagaan-ke-pengguna (B2C), dan perniagaan-ke-kerajaan (B2G).

Antara manfaat e-Invois adalah:

Mengurangkan proses manual dan kesilapan: Dengan pengurangan proses manual, risiko kesilapan juga berkurang.
Memudahkan pengemukaan borang nyata: Proses ini akan menjadi lebih mudah dan efisien.
Meningkatkan kecekapan operasi: Operasi perniagaan akan menjadi lebih lancar dan efisien.
Mendigitalkan pelaporan percukaian dan kewangan: E-Invois akan memudahkan pelaporan percukaian dan kewangan dalam format digital.
Untuk memudahkan peralihan kepada e-Invois, pembayar cukai boleh memilih mekanisme yang paling sesuai untuk menghantar e-Invois kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM):

Portal MyInvois:

Portal ini dihoskan oleh LHDNM dan boleh diakses oleh semua pembayar cukai tanpa sebarang kos.
Ia juga boleh diakses oleh pembayar cukai yang perlu mengeluarkan e-Invois ketika mana sambungan Application Programming Interface (API) tidak tersedia.
Application Programming Interface (API):

API adalah satu set kod pengaturcaraan yang membolehkan penghantaran data secara langsung antara sistem pembayar cukai dan Sistem MyInvois.
Memerlukan pelaburan awal dalam teknologi dan pelarasan kepada sistem sedia ada.
Sesuai untuk pembayar cukai besar atau perniagaan dengan jumlah transaksi yang besar.
Pelaksanaan e-Invois ini akan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran serta memberikan tempoh masa yang mencukupi untuk pembayar cukai menyesuaikan diri dengan sistem ini.

Pengecualian Penggunaan e-Invois:
Beberapa golongan dikecualikan daripada mengeluarkan e-Invois, termasuk pemerintah, ketua pemerintah, permaisuri, kerajaan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pihak berkuasa berkanun, pejabat konsular, individu yang tidak menjalankan perniagaan, dan lain-lain.

Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, pembayar cukai boleh melayari laman mikro e-Invois di Portal Rasmi HASiL Laman Mikro e-Invois atau menghantar sebarang pertanyaan e-Invois ke [email protected] serta melalui Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois di feedback.myinvois.hasil.gov.my.

Baca : JDT sambar pemain tengah dari Perancis, ini duit yang dibelanja