Mahkota bukti PN mula hilang undi melayu

Kekalahan teruk Perikatan Nasional (PN) dalam PRK Dun Mahkota dilihat sebagai gambaran tersungkurnya gabungan itu dalam siri pasca PRU 15 terhadap undi bangsa Melayu.

Hal itu dinyatakan oleh Ketua Kawasan Parti Amanah Negara (AMANAH) Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain (gambar) ketika dihubungi menjelaskan PN tidak lagi relevan bagi rakyat di Malaysia.

Mohd Zuhan yang merupakan Naib Pengerusi Amanah Johor memaklumkan, isyarat pengundi di Mahkota jelas menunjukkan bahawa orang Johor terutamanya pengundi Melayu tidak termakan dengan doktrin yang dicanang oleh PN selama ini.

“PN memang tidak berjaya tembus Johor dan ini dapat dibuktikan dengan siri PRK yang berlaku di negeri ini.

“Selain itu juga PRK Mahkota telah membuktikan bahawa PN terus hilang sokongan yang selama ini menjadi harapan mereka iaitu undi Melayu pertengahan yang lebih menyakinkan Kerajaan Madani hari ini.

“Sebelum PRK Mahkota, dapat disaksikan bagaimana siri PRK yang berlaku di Nenggiri, Kelantan yang jelas menunjukkan sokongan PN termasuklah Pas tidak berjaya mendapat sokongan melayu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Zuhan turut menyatakan bahawa terdapat faktor kuat yang mewujudkan kepercayaan pengundi terhadap kerajaan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa kelemahan doktrin PN yang selama ini hanya memainkan isu perkauman tidak mendapat perhatian orang terbanyak dalam negara ini.

“Terdapat beberapa faktor yang menyakinkan pengundi antaranya adalah pengukuhan ringgit di peringkat antarabangsa serta kawalan harga barang yang tidak membebankan rakyat.

“Selain itu kelemahan PN dalam membawa naratif perkauman tidak lagi menjadi peluru yang ampuh bagi mendatangkan kepercayaan kepada pengundi di negara ini.

“Saya bersyukur kerana akhirnya jelas rakyat lebih memilih keamanan, kesejahteraan serta perpaduan dalam matlamat hidup di negara ini,” ujarnya lagi.

PRK Dun Mahkota telah menyaksikan pertembungan antara BN yang mewakili Kerajaan Madani telah mengalahkan calon dari PN dengan majoriti sebanyak 20609 undi.

Baca juga : Chegubard mahu berhenti politik fokus jadi polis