Seorang lelaki terperanjat apabila mengetahui bahawa rumah kenalannya di Puchong, Selangor, yang dibiarkan kosong selama 10 tahun telah dicemari oleh warga asing.
Lelaki tersebut, yang berkongsi kisah melalui akaun Facebooknya, Srilabu Kedah, menerangkan bahawa kenalannya yang tinggal di Pantai Timur meminta bantuannya untuk menjualkan apartmen di Puchong.
“Baru-baru ini, seorang kawan kepada sahabat saya meminta tolong saya untuk menjualkan apartmennya di Puchong. Pemilik apartmen tersebut tinggal di salah satu negeri di Pantai Timur.
“Jadi, dia meminta saya untuk menguruskan proses jual beli sepenuhnya. Oleh kerana Puchong dan Seremban 2 tidak begitu jauh, saya setuju untuk membantu menguruskan jual beli dari A hingga Z.
“Jadi, pemilik tersebut menghantar kunci kepada sahabat saya, dan sahabat itu pula menyampaikan kunci kepada saya,” katanya melalui hantaran tersebut.
Lelaki itu juga berkongsi maklumat mengenai status rumah tersebut, sama ada rumah itu dihuni atau kosong.
“Saya bertanya kepada pemilik rumah, siapa yang tinggal di sana sekarang? Pemilik rumah memberitahu bahawa rumah itu kosong sudah beberapa tahun. Sejak dibeli, dia lebih suka tinggal di kampung.
“Saya memutuskan untuk pergi melihat keadaan rumah. Apabila saya tiba, saya melihat ada orang di dalam rumah.
“Saya menelefon kawan pemilik rumah untuk mengesahkan sama ada rumah itu benar-benar kosong. Saya memberitahu dia bahawa ada orang di dalam rumah, iaitu warga asing!
“Bukan sahaja saya terkejut, tetapi kawan pemilik rumah dan pemilik rumah sendiri juga terkejut. Ini kerana dia tidak pernah menyewakan rumah tersebut sejak dibeli lebih 10 tahun yang lalu,” katanya.
Menurutnya, warga asing tersebut tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, menyebabkan dia tidak dapat berkomunikasi dengan mereka.
“Dalam hati saya, saya berkata mereka sangat berani. Mereka masuk ke rumah orang begitu saja. Kita sebagai warga tempatan pun tidak berani melakukan perkara sebegini.
“Mereka dengan mudah masuk ke rumah orang tanpa sebarang rasa takut. Mereka menarik air dari rumah sebelah. Saya tidak tahu bagaimana mereka menyambung elektrik,” katanya.
Dia juga menceritakan perbualannya dengan penyelia warga asing tersebut, seorang lelaki yang dipercayai berasal dari Bangladesh. Mereka memberitahu bahawa mereka telah lama menetap di rumah tersebut tanpa membayar sewa dan tidak diganggu oleh sesiapa.
“Sekarang mereka meminta bukti daripada saya, ‘you’ (awak) adalah wakil pemilik betul? Mereka ingin bukti daripada kita yang kita adalah pemilik yang sah. Oh, apa yang telah terjadi kepada Malaysia saya.
“Saya sudah memberitahu pemilik rumah untuk membuat laporan polis, dan saya juga akan melaporkan kepada pihak Imigresen.
“Anda boleh berkongsi dan memberitahu orang ramai untuk bersedia, terutama kepada pemilik rumah yang mempunyai rumah tetapi tiada penyewa atau penghuni,” katanya.
Kisah ini menjadi viral setelah lelaki tersebut berkongsi di Facebook dan mendapat respon negatif daripada warganet yang merasakan perkara ini sepatutnya tidak berlaku.
Baca Juga : Ramai tanya kenapa Wawa Zainal muntah darah di Mekah