“Maknanya mereka bertanding atas tiket Bebas”, – Peguam.
Dakwaan empat Ahli Parlimen dari Sabah yang mengaku sudah menjadi ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu perlu disahkan sebelum menentukan kedudukan mereka sebagai Ahli Dewan Rakyat.
Peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata dakwaan Ahli Parlimen Papar, Armizan Ali; Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) adalah ahli GRS dan bukan ahli BERSATU sebelum PRU15, perlu disahkan terlebih dahulu.
“Mereka dakwa sudah jadi ahli GRS semasa atau sebelum PRU15, mengapa mereka tidak umum ketika itu, mengapa sudah menang baru nak umum? Dalam istilah undang-undang kita sebut ‘bona fide’ atau tanpa prasangka.
“Saya berpendapat mereka perlu ikut keahlian parti mereka. Kalau mereka tidak ada keahlian, maknanya mereka bertanding atas tiket Bebas. Saya lebih berat menyatakan mereka telah melanggar pindaan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada BH.
Shamsuddin berkata, ada dua pendapat utama berkenaan isu empat Ahli Parlimen Sabah yang mengumumkan mereka bukan lagi ahli BERSATU Sabah, sebaliknya mengakui mereka adalah ahli GRS.
“Pada pendapat pertama, mereka melanggar pindaan Perlembagaan akta lompat parti, manakala satu lagi kata tidak. Saya setuju, mereka telah melanggar pindaan Perlembagaan Persekutuan, sebab kena ambil mereka masuk jadi calon sebagai ahli parti BERSATU,” katanya.
Shamsuddin memberi contoh, apabila seseorang calon bertanding dengan tiket GRS, tetapi adalah ahli parti BERSATU, mereka dianggap masih ahli BERSATU ketika PRU15 diadakan melainkan sebelum PRU mereka tidak ada parti.
“Pada pandangan saya, berkenaan pindaan yang dibuat ini, yang akan memutuskan kedudukan mereka ialah Speaker Dewan Rakyat dan bukan jawatankuasa.
“Berdasarkan fahaman saya, Datuk Johari Abdul seorang sahaja yang akan putuskan tetapi cara beliau putuskan, sama dengan cara Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri. Mungkin beliau akan meminta pandangan orang yang berkepakaran termasuk penasihat undang-undang Parlimen,” katanya.
Sementara itu, Shamsuddin berkata, ada juga pendapat menyatakan mereka (empat Ahli Parlimen Sabah) hendak merujuk kepada apa yang diputuskan oleh jawatankuasa pindaan iaitu sebuah jawatankuasa yang wujud sebelum pindaan dibawa ke parlimen.
“Apa yang diputuskan jawatankuasa itu bukan undang-undang, yang menjadi undang-undang hanya apa yang tertulis dalam pindaan sahaja, perbincangan tidak digazetkan dalam undang-undang, itu hanya perbincangan,” katanya.
Justeru itu, Shamsuddin berkata, perkara terbabit perlu dibawa ke mahkamah kerana ada perkara-perkara yang tidak jelas dalam pindaan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Banyak sangat kelompangan dalam perkara tersebut. Biar mahkamah memutuskan jika mereka tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker,” katanya.
Shamsuddin turut mempersoalkan cara pengumuman keluar parti itu dibuat oleh bekas Pengerusi BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Jika mereka Ahli Parlimen, sepatutnya pengumuman dibuat secara individu bukan dibuat secara berkelompok. Sekalipun dibuat secara beramai-ramai, tiap seorang mereka perlu membuat pengumuman keluar parti.
“Melainkan Hajiji adalah Ahli Parlimen mewakili semua Ahli Parlimen terbabit, tetapi surat notis kepada Speaker mesti peribadi. Setakat ini tidak ada pengumuman persendirian,” katanya.
Shamsuddin turut mengingatkan orang ramai bahawa akta lompat parti tidak wujud, sebaliknya yang ada hanya pindaan Perlembagaan mengenai kedudukan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Rakyat jika keluar parti.
“Perlembagaan menyediakan asas perundangan, akta pula akan ada maklumat lengkap. Dalam konteks isu kedudukan Ahli Parlimen ini, apabila tidak ada akta lengkap maka terjadilah isu kelompongan di dalam undang-undang tersebut yang harus dijelaskan oleh pihak mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, pada 10 Disember lalu, pemimpin BERSATU Sabah termasuk semua wakil rakyatnya mengumumkan keluar daripada parti itu.
Dalam satu kenyataan, Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Hajiji Noor, dilaporkan berkata keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.
Beliau berkata, kerajaan negeri yang ditunjangi Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
BACA JUGA:
Tun Juhar menyambung khidtmatnya sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah
Dr Dzulkefly tidak terkilan tiada dalam saf kepimpinan negara, memahami keputusan PMX
Siapakah Azazil itu? Adakah dari golongan malaikat ataupun jin?