Sejak beberapa tahun sebelum ini, Thailand dikatakan nak menghidupkan semula idea Raja Narai sejak 300 tahun dahulu.
Iaitu, membina Terusan Segenting Kra sebagai alternatif yang menghubungkan Laut Andaman dengan Teluk Siam.
Jika terusan ini siap, maka laluan perdagangan dari China tidak perlu melalui Selat Melaka. Maksudnya, Thailand akan dapat banyak kelebihan kot.
Tapi kenapa idea selama 300 tahun ini tidak dilaksanakan sejak dulu lagi? Atau dalam bahasa mudahnya, Thailand macam tak beriya sangat pun nak teruskan projek ni? Sebelum kita menjawab persoalan tersebut, mari kenali dahulu serba sedikit tentang Segenting Kra.
Kedudukan Segenting Kra dan bagaimana ia memintas Laut Andaman sehingga ke Teluk Thailand
Kalau kita lihat dari peta di atas, garisan merah itu menunjukkan laluan terusan Segenting Kra.
Kawasan di sekeliling Sungai Kra akan dikorek sampai memisahkan kawasan selatan dengan utara Thailand.
Maksudnya, kawasan selatan Thailand sampai ke Johor akan jadi pulau baru, tiada lagi laluan darat macam hari ini.
Secara tak langsung, Terusan Segenting Kra ini juga berada di latitud yang sama dengan Pulau Phuket.
Segenting Kra12 463×500
Bayangkan, dari Phuket kita boleh pintas ke Laut China Selatan terus tanpa perlu melalui Malaysia dan Singapura. Walaupun dari peta, kita nampak ia sangat menguntungkan, ada sebab kenapa projek sejak 1677 ini sukar dilaksanakan.
Zaman dahulu, Thailand tak cukup dana dan keadaan Perang Dunia Kedua menghalang projek ini
Faktor kewangan dan dana adalah masalah biasa apabila sesebuah kerajaan nak laksana apa-apa jenis pembangunan pun.
Pada zaman Raja Narai dahulu, bukan saja Thailand belum cukup dana, malah teknologi waktu itu pun menghalang impian besar ini. Biarpun terhalang, projek ini tidaklah dibatalkan begitu saja.
Dana boleh dicari, teknologi juga boleh dipelajari, t api Perang Dunia bukanlah sesuatu yang boleh dijangka bila akan tamat.
Umum mengetahui bahawa Thailand pada zaman Perang Dunia Kedua memihak kepada Jepun. Apabila Jepun kalah perang, Thailand terpaksa ikut cakap British.
Jadi, kerajaan Siam terpaksa menandatangani perjanjian dengan pihak British (Anglo-Thai Peace Treaty) untuk menamatkan status perang di antara dua negara.
Artikel 7 Perjanjian ini mencegah Siam daripada menggali terusan menembusi wilayahnya untuk menghubungkan Laut Andaman dengan Telukan Siam bagi melindungi kepentingan British di Singapura. Perjanjian ini dibatalkan pada 1954.
Projek ini menguntungkan tapi tidak signifikan seperti Terusan Suez
Idea Terusan Segenting Kra ini memang akan menjimatkan kos bagi aktiviti perdagangan maritim tapi penjimatannya tidaklah begitu signifikan. Kita boleh bandingkan Terusan Segenting Kra dengan Terusan Suez.
Terusan Suez mampu memendekkan perjalanan sejauh 10,000 km, manakala Terusan Kra hanya mampu menjimatkan 1,200 km sahaja. Dari segi penjimatan masa, Terusan Segenting Kra hanya memendekkan perjalanan selama 3-4 hari sahaja.
Berbanding Terusan Suez yang menjimatkan perjalanan tanpa melalui Selatan Afrika yang memakan masa berbulan-bulan lamanya dengan Terusan Segenting Kra yang hanya menjimatkan masa beberapa hari, penjimatan melalui Segenting Kra tidaklah sebanyak melalui Terusan Suez.
Sekiranya terusan ini siap, berkemungkinan juga trafik perdagangan di terusan itu meningkat dan kesesakannya akan turut menyebabkan kelewatan untuk sampai ke Teluk Thailand. Akhirnya, tidak ada perbezaan ketara dengan melalui Selat Melaka atau Terusan Segenting Kra.
Satu halangan paling besar untuk menjayakan rancangan ini ialah kedudukan geografi Segenting Kra. Macam yang kita dah sebut tadi, Segenting Kra akan memisahkan kawasan Selatan Thailand dengan kawasan utara dan kerajaan pusat mereka di Bangkok.
Wilayah Selatan Thailand pula terdiri daripada wilayah bergolak seperti Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla.
Sekiranya terusan ini siap, kemungkinan besar golongan pemisah akan mengambil kesempatan di sebalik persempadanan Thailand ini.
Sudah tentu, kerajaan Thailand tidak mahu kehilangan wilayah selatan mereka. Seandainya Wilayah Selatan Thailand tidak bergolak, sudah tentu Thailand tidak teragak-agak untuk meneruskan projek mega ini.
Malaysia akan rugi ke kalau Terusan Segenting Kra siap? Sebenarnya tak juga
Secara umumnya, aktiviti perdagangan di Selat Melaka mungkin akan berkurangan sekiranya alternatif Terusan Segenting Kra ini wujud.
Namun, secara keseluruhannya, Malaysia masih beruntung kerana Teluk Thailand berdekatan dengan kawasan Pantai Timur Malaysia. Secara tidak langsung, Terusan Segenting Kra akan turut meningkatkan aktiviti perdagangan di pelabuhan Pantai Timur Malaysia.
Malaysia juga dapat mengurangkan kos menyelenggara pelabuhan di Selat Melaka.
Kedudukan Malaysia masih menguntungkan tetapi lain halnya dengan Singapura pula. Sudah tentu, setiap keputusan mana-mana kerajaan di rantau ASEAN ini harus mengambil kira kepentingan serantau juga.
Jadi ada pro dan kontra yang ketara apabila projek mega ini diteruskan, baik dari sudut negara Thailand sendiri mahupun rantau Asia Tenggara.
Baca Selanjutnya :
Malaysia Terlibat? Sindiket Jual Buah Pinggang Dihantar Ke Negara Ini!
PILU : Tersedak Susu, Bayi 11 Bulan Mati Di Bawah Jagaan Pengasuh