Malaysia bersedia mempertimbangkan untuk melakukan operasi pencarian semula pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang kehilangannya masih kekal misteri.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah menyatakan bahawa pihaknya juga menjemput firma penerokaan dasar laut Ocean Infinity untuk memberikan taklimat mengenai cadangan ‘tidak jumpa, tiada bayaran’ terbaru mereka.
“Kami kini sedang menunggu untuk mereka memberikan tarikh yang sesuai dan saya bersedia berjumpa dengan mereka pada bila-bila masa datang ke Malaysia.
“Kerajaan Malaysia teguh dengan azam untuk mencari MH370. Saya berharap keluarga dan rakan-rakan mangsa akan terus tabah.
“Anda sentiasa berada dalam fikiran dan doa kami. Lebih penting lagi, kami akan berdiri di sisi anda,” katanya semasa berucap pada Majlis 10 Tahun Memperingati MH370 di sebuah kompleks beli-belah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Loke turut berjanji akan melakukan segala usaha bagi mendapatkan kelulusan Kabinet bagi menandatangani kontrak baharu dengan Ocean Infinity untuk memulakan pencarian semula pesawat itu secepat mungkin.
“Saya gembira adanya perkembangan baharu terhadap penyelidikan dan teknologi baharu yang disampaikan dan kami berharap pencarian ini akan dapat mencari pesawat itu,” katanya.
Pesawat membawa 239 penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang selepas terputus hubungan dengan menara kawalan pada 8 Mac 2014, kurang sejam selepas berlepas.
Selepas usaha mencari tidak berjaya, kerajaan Malaysia membatalkan operasi pada 1 Januari 2015.
Baca juga: ‘Semua benda dia korbankan padahal dia bukan dari darah daging kita pun’