MANGSA BANJIR JOHOR: Berlaku peningkatan dari 774 kepada 2,757 orang. Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat kepada 2,757 orang daripada 774 keluarga ditempatkan di 31 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi Isnin.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani memberitahu, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan sedikit berbanding 2,593 orang daripada 731 keluarga di 31 PPS pada jam 4 pagi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, daerah terjejas akibat banjir masih lagi melibatkan Mersing; Kluang; Kota Tinggi; Batu Pahat, Segamat dan Tangkak.
“Terbaharu, satu PPS baharu dibuka pada jam 11.30 malam tadi di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ramunia melibatkan 30 mangsa banjir daripada 12 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, Batu Pahat menjadi daerah paling ramai bilangan mangsa banjir dengan jumlah terkini 946 orang daripada 266 keluarga ditempatkan di lapan PPS.
Kata Azmi, mangsa banjir di Mersing pula kini berjumlah 829 orang daripada 243 keluarga di enam PPS; di Kota Tinggi 453 orang daripada 117 keluarga di sembilan PPS.
“Di Kluang pula mangsa banjir yang tinggal hanya 422 orang daripada 117 keluarga di tiga PPS manakala di Segamat masih lagi menempatkan 92 orang daripada 28 keluarga di empat PPS,” ujar beliau.
Sementara di Tangkak, katanya, masih sama iaitu seramai 15 orang daripada tiga keluarga dipindahkan ke sebuah PPS.
Dalam perkembangan lain, Azmi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan di Mersing, Jalan Tanah Abang dan selekoh pertama Tanah Abang masih ditutup disebabkan air naik setinggi 1.0 meter (m).
Jalan Belukar Juling dan Jalan Endau Penyabong yang dinaiki air setinggi 0.4m dan 0.1m katanya, dibuka untuk kenderaan berat sahaja manakala di Kota Tinggi, Jalan Mawai Lama yang dinaiki air setinggi 0.35m dibuka untuk kenderaan berat sahaja.
“Di Kluang pula, Jalan Kahang Barat sudah dibuka untuk kenderaan berat dan ringan sementara di Kulai, Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau masih ditutup untuk semua kenderaan disebabkan tanah runtuh,” katanya.
Selain itu ujar beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan di Mersing, Sungai Endau kini mencatatkan bacaan 2.90m melepasi paras bahaya 2.20m manakala di Segamat, Sungai Muar di Buloh Kasap berada pada paras amaran dengan bacaan 8.95m.
“Di Batu Pahat yang melibatkan Sungai Bekok dan Sungai Sembrong juga sudah berada pada paras amaran iaitu masing-masing kini mencecah 18.52m dan 11.05m,” tambahnya.
BACA JUGA :
’Umno mampu lahirkan 10 lagi `KJ’ dan 10 `Shahril Hamdan’ yang lebih setia’ – Dr Muhamad Akmal Saleh
Pembakaran terbuka di Balai Polis Bandar Utama disiasat
Demam Babi Afrika (ASF): Tidak menjangkiti manusia dan bukan zoonotik