Mangsa banjir Terengganu dan Kelantan termasuk keutamaan segera Kerajaan, diperuntuk dana sebanyak RM500, 000

Mangsa banjir Terengganu dan Kelantan termasuk keutamaan segera Kerajaan, diperuntuk dana sebanyak RM500, 000. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meluluskan Perolehan Darurat sebanyak RM500,000 bagi membiayai keperluan segera serta bantuan kepada mangsa terjejas banjir di Terengganu dan Kelantan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan berkenaan adalah bagi memastikan barangan keperluan tambahan di stor, mini depoh dan pangkalan hadapan di daerah-daerah terjejas sentiasa tersedia.

“Petugas JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) akan terus memantau dan bersiap sedia sepanjang masa di kawasan yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Berhubung isu terputus pergerakan di Hulu Besut, Terengganu, Nancy berkata mesyuarat bersama Ketua Polis Negeri dan Ketua Jabatan Negeri petang tadi memutuskan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan digunakan bagi membantu JKM menghantar bantuan.

“Agensi seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pertanian dan Majlis Daerah Kuala Terengganu yang mempunyai kenderaan besar atau lori besar akan berkumpul di Depoh Bencana JKM Marang untuk membantu mengagihkan makanan dan barangan.

“Bagi mangsa yang tidak sempat berpindah ke PPS (pusat pemindahan sementara), mereka boleh berkumpul di premis awam lain seperti Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan JKM bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana akan daftarkan PPS secara ad hoc untuk mereka mendapatkan makanan dan keperluan asas,” katanya.

Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, luruan angin dan hujan lebat di Pantai Timur dijangka berterusan sehingga 21 Dis dan kejadian ini kemungkinan menyumbang kepada peningkatan kawasan-kawasan yang akan terjejas.

Setakat semalam, beberapa daerah di Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak dan Johor telah dilanda banjir.

BACA JUGA:

November ke Disember, kini ke Jun 2023, kes rasuah solar hibrid Rosmah Mansur

Strong, formidable, convincing, kini bukan lagi bahan ejekan, tetapi tanda keunggulan PMX

Tidak sinonim dengan istilah prostat, biasanya lelaki muda terlambat ambil tahu bila sudah terkena

COMMENTS

Wordpress (0)