Martabat Bahasa Melayu perlu dipertingkat. Cadangan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk mengangkat teks Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu sebagai teks sahih merupakan perkembangan yang amat baik.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, perkara itu sudah ditunggu sejak sekian lama.
“Badan dan tokoh pejuang bahasa menyuarakan perkara itu sejak 20 tahun yang lalu.
“Semoga usaha Jabatan Peguam Negara dapat disegerakan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, keputusan itu dapat meningkatkan martabat bahasa Melayu yang sah sebagai bahasa negara, berbanding dengan teks sahih dalam bahasa Inggeris.
“Negara telah merdeka lebih 65 tahun. Amat wajar saki-baki penjajahan diketepikan dan kita berfikir, mentafsirkan dan melaksanakan peruntukan Perlembagaan berdasarkan falsafah, nilai dan pandangan sarwa kira sendiri,” katanya.
Idrus pada Isnin mencadangkan agar edisi Perlembagaan Persekutuan yang diterjemah ke Bahasa Melayu menggantikan teks asal dalam Bahasa Inggeris sebagai versi rasmi.
Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan bertindak sebagai asas kita dalam melaksanakan dasar pengasingan kuasa.
Justeru, bagi tahun 2023, menurut Perkara 160A Perlembagaan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara (AGC) bercadang untuk mencetak semula Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan pindaan perlembagaan bersejarah terkini.
BACA JUGA:
Sektor Korporat akan menghadapi empat cabaran besar tahun ini
Isu Kenaikan Harga Hotel di Tanah Suci cuba ditangani walaupun diluar kawalan kerajaan
Wanita berumur 50-an bergiat dalam dunia lukisan selepas pandemik