Dengan berbekal RM2, pakcik tua dari Kedah merantau ke KL semata-mata nak cari kerja undang sebak netizen
BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Begitulah perumpamaan sesuai bagi menggambarkan nasib seorang lelaki berusia lebih separuh abad yang berkeliaran di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur tanpa tujuan.
Dengan berbekal RM2, pakcik tua dari Kedah merantau ke KL semata-mata nak cari kerja undang sebak netizen
Kisah lelaki berkenaan mengundang sebak netizen selepas diceritakan secara ringkas oleh gadis bernama Nur Insyirah menerusi video di TikTok.
Bercerita lanjut kepada mStar, Nur Insyirah atau Syirah berkata hatinya tergerak untuk mendekati warga emas yang kelihatan terabai itu di kawasan medan selera pada Isnin, 30 Mei lalu.
Ujar siswa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur ini, pada ketika itu dia sedang menunggu bas untuk pulang ke kampung halamannya di Perak.
“Saya dengan kawan tengah tunggu bas nak balik ke Perak dari UPNM. Saya tengah makan dekat food court dekat tingkat atas TBS tu kira-kira pukul 8 malam.
“Selepas saya selesai makan, saya perasan ada seorang pakcik ni duduk betul-betul di sebelah saya. Saya perhati dia makan sebab nampak berselera sebab nampak lapar betul cara dia makan.
Syirah ketika di TBS sebelum pulang ke Perak.
“Saya nampak dia ada letak sebatang tongkat dekat atas meja dia tengah makan tu. Tiba-tiba saya nampak raut wajah dia bertukar sedih. Tapi masa tu dia tak pandang sesiapa pun. Cuma fokus dekat makanan dia sambil minum teh tarik,” jelas Syirah.
Melihat keadaan lelaki yang kelihatan uzur dalam lingkungan usia 70 tahun itu, gadis berkenaan memberanikan diri untuk berbual.
Luluhnya hati Syirah apabila mengetahui lelaki berkopiah putih itu rupa-rupanya hidup sebagai gelandangan.
“Saya tanya macam-macam soalan dekat pakcik tu sebab nampak dia berseorangan dekat terminal bas ni. Rupa-rupanya pakcik ni beritahu dia datang dari Kedah sebab nak cari kerja. Tapi disebabkan faktor umur yang sudah tua dan kesihatan jadi tak ada siapa pun nak ambil dia bekerja.
“Dia malu nak cakap sebenarnya takut orang tak percaya tapi saya paksa dia suruh beritahu juga. Sebenarnya dia tidur dekat kawasan TBS tu saja.
“Kalau ada orang bagi duit baru dia makan. Paling sedih ketika itu dia hanya ada RM2 saja,” jelas Syirah lagi.
Ujar Syirah lagi lelaki berkenaan turut mengaku hidup sebatang kara kerana isteri dan anaknya sudah meninggal dunia.
Apabila pakcik ni beritahu yang ahli keluarganya dah meninggal, memang cukup menyedihkan.
Tambah Syirah yang bersimpati dengan nasib malang menimpa lelaki ini, dia membeli tiket bas untuk pakcik ini pulang ke kampung halaman di Kedah.
“Saya hanya mampu bantu setakat itu saja. Lagipun susah nak berhubung dengan dia sebab telefon bimbitnya dah rosak. Tapi saya ada tinggalkan nombor telefon pada pakcik ni untuk hubungi saya. Kalau pakcik ni perlukan apa-apa bolehlah dia hubungi saya.
“Apabila pakcik ni beritahu yang ahli keluarganya dah meninggal memang cukup menyedihkan. Sekarang memang tinggal dia sorang saja, jadi kalau balik kampung pun sama saja macam dia duduk di Kuala Lumpur ni,” ujarnya.
Berikutan perkongsian Syirah di TikTok, rakaman tersebut telah meraih lebih 1.5 juta jumlah tontonan dalam masa kurang satu hari.
“Saya post video tu dekat TikTok supaya lebih ramai orang yang jumpa pakcik ni nanti boleh bantu dia.
“Tak sangka ramai juga yang pernah terjumpa pakcik ni sebelum ni. Apabila baca dekat ruangan komen tu mereka beritahu yang pakcik ni selalu merantau. Mereka pernah terjumpa dia dekat Rawang dan Perlis juga sebelum ni,” katanya.
Susulan video tular ini juga, personaliti dakwah Ebit Lew dan pasukannya tampil menyantuni lelaki berkenaan, dipercayai untuk menghulurkan bantuan sewajarnya.
BACA: Jenama pakaian guna Marissa dan Aslam sebagai model akhirnya kena ‘banned’ dari Tiktok