Seorang ahli parlimen hari ini mendakwa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selepas melakukan lawatan ke luar negara bulan lalu.
Menurut Teresa Kok (PH-Seputeh) Mohd Khairuddin Aman Razali berkunjung ke Turki pada awal Julai namun tidak melakukan kuarantin wajib selepas pulang ke negara ini.
“Menteri Perusahan Perladangan dan Komoditi pergi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai tetapi pada 13 haribulan dia datang ke parlimen.
“Kita tahu semua orang yang berkunjung ke luar negara harus dikuarantin selama 14 hari (selepas pulang).
“Sekarang ni ada menteri kabinet tak ikut (peraturan yang ditetapkan),” katanya semasa berucap di Dewan Rakyat hari ini.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen daripada anggota parlimen Kuala Nerus itu berhubung dakwaan Kok.
Ketika ditanya dari mana maklumat berkenaan diperolehi, Kok memberitahu Malaysiakini ia disampaikan oleh sumbernya.
Untuk rekod pada tarikh yang dinyatakan Kok, kerajaan mewajibkan kuarantin di rumah selama 14 hari kepada sesiapa saja rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.
Warga emas didenda, penjara
Pada minggu lalu seorang wanita warga emas dihukum penjara sehari dan didenda RM8,000 selepas mengaku salah melanggar perintah kuarantin kendiri apabila tiba dari negara luar.
Seorang pemilik restoran di Kedah pula dihukum penjara lima bulan serta denda RM12,000 kerana kesalahan sama. Lelaki terbabit adalah kes yang mempunyai kaitan dengan kluster Sivagangga.
Perintah kuarantin kendiri kemudian diganti dengan kuarantin wajib mulai 24 Julai.
Kata Kok, tindakan harus dikenakan – sama ada oleh Kementerian Kesihatan atau parlimen – ke atas anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu atas keingkaran berkenaan.
Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) pula berkata jika dakwaan Kok itu benar, tindakan menteri terbabit boleh dianggap sangat tidak bertanggungjawab kerana di Turki sendiri hampir 250,000 kes Covid-19 disahkan.
Negara berkenaan juga, kata Lee, mencatatkan hampir 6,000 kematian akibat wabak tersebut.
Sementara itu RSN Rayer (PH-Jelutong) pula meminta tindakan diambil ke atas Mohd Khairuddin kerana mendedahkan parlimen kepada ancaman virus berbahaya itu.
berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/539119