Meskipun boleh mengundang rasa takut sehingga menaikkan bulu-bulu roma, entah mengapa ramai yang gemar membaca kisah-kisah seram di serata tempat. Sepertinya ia memberikan satu kepuasan lebih-lebih lagi melibatkan misteri bangunan terbiar.
Bercakap tentang hal itu, seorang pemuda di Twitter sempat mendedahkan kisah mengenai sebuah bangunan beli-belah yang terletak di selatan Malaysia.
Siang nampak usang, malam beroperasi
Menurut pengguna Twitter berkenaan, proses pembinaan mall besar itu telah dihentikan sekitar tahun 1998. Beberapa tahun kemudian, misteri tentang bangunan besar itu semakin mengundang seram di kalangan masyarakat setempat.
Walaupun kelihatan usang dan tidak pernah beroperasi, pusat membeli-belah ini dikatakan aktif pada waktu malam sehingga ada pengunjung yang terjebak untuk berbelanja di sana. Namun esoknya, barangan yang dibeli pula bertukar menjadi daun kering. Ketika itu, hanya tanda tanya yang ada dalam kepala.
Yang cuba pecahkan dinding akan meracau
Selain misteri daun kering yang dialami oleh keluarga tersebut, ada juga dakwaan mengatakan seorang lelaki terus ghaib selepas masuk ke dalam bangunan usang berkenaan. Apabila misi pencarian bermula, dia tidak ditemukan dan hanya baju serta beg sahaja yang ada.
Tidak ketinggalan, percubaan untuk membuka semula mall ini juga sukar. Beberapa orang pekerja pembinaan dikatakan mengalami gangguan misteri sehingga meracau-racau setelah cuba memecahkan salah sebuah dinding di situ.
Baca juga: Ramai tak tahu, ini cara rebus telur tanpa air 5 minit sudah masak