Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang antara lain menyentuh beberapa perkara penting termasuk persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam catatan di laman Facebooknya, Muhyiddin berkata mesyuarat berkenaan turut membincangkan dan mempersetujui untuk memperkemaskan gabungan parti anggota PN, memperkukuhkan kerjasama dengan parti dalam kerajaan pimpinan PN serta melaksanakan program segera untuk memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.
“Majlis Tertinggi PN terus komited untuk menzahirkan aspirasi kerajaan dan rakyat seluruhnya,” katanya.
Katanya, mesyuarat tersebut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan semua ahli Majlis Tertinggi lain.
Sementara itu, Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Abdul Hadi dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengenai usaha memperkukuhkan hubungan kerjasama antara ketiga-tiga parti tersebut.
Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/553395