Pada 21hb Februari, 2020, saya diberitahu oleh Muhyiddin dan beberapa pemimpin Bersatu bahawa pada malam itu Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mendesak supaya saya letak jawatan untuk Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri. Kononnya saya akan dipaksa lantik Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan segera.
Tujuan Muhyiddin ialah supaya saya setuju Bersatu keluar dari Pakatan Harapan untuk jatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan. Muhyiddin, Azmin dan Hamzah sudah rancang untuk bekerjasama dengan Muafakat Nasional untuk tubuh Kerajaan baru mengganti PH.
Azmin Ali pula telah sahkan bahawa apabila cadangan yang tersebut di atas dibuat dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan, beliau akan walk out.
Tetapi pada malam itu mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, setelah berbincang dengan panjang lebar, bersetuju supaya saya diberi kuasa untuk letak jawatan bila-bila masa yang saya pilih.
Ini bermakna Pakatan Harapan masih sokong saya. Pakatan jahat untuk tolak saya tidak menjadi kenyataan seperti yang didakwa oleh Muhyiddin dan konco-konconya. Saya berpendapat tidak ada sebab kenapa saya perlu bersetuju untuk Bersatu keluar dari PH.
Pada 23hb Februari saya telah beritahu kepada Muhyiddin bahawa perancangannya untuk Bersatu keluar dari Pakatan Harapan perlu ditangguh kerana PH masih sokong saya sebagai Perdana Menteri.
Apabila Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersidang selepas pertemuan saya dengan Muhyiddin dan rakan-rakannya, saya merayu supaya ditangguh cadangan Bersatu untuk keluar dari PH. Saya syor supaya Bersatu tunggu dan lihat akan perlakuan PH.
Pendek cerita Majlis tolak syor saya dan setuju Bersatu keluar dari Pakatan Harapan dengan serta-merta. Ada yang tumbuk meja dan dengan lantang sokong Muhyiddin untuk keluar dari PH.
Bagi saya ini adalah keputusan muktamad. Ia merupakan kepercayaan kepada saya sebagai Pengerusi parti sudah tidak ada. Keputusan itu juga bermakna Bersatu sudah keluar dari Pakatan Harapan dan Kerajaan PH sudah jatuh.
Sepanjang malam itu saya memikir akan kedudukan saya. Kehilangan kepercayaan kepada saya bermakna saya tidak lagi boleh menjadi Pengerusi Bersatu. Jika saya tidak lagi Pengerusi Bersatu dan PH tidak lagi Kerajaan, saya tidak lagi jadi Perdana Menteri.
Pada malam itu Muhyiddin Yasin bersama pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS telah berada di Hotel Sheraton. Kesanggupan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu berada bersama dengan musuh Pakatan Harapan bermakna bahawa rancangan menubuh Kerajaan Perikatan Nasional sudah jadi kenyataan.
Saya buat keputusan untuk isytihar bahawa saya sudah letak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri. Walaupun ada ura-ura bahawa saya akan diterima oleh gabungan Muafakat dan Bersatu sebagai Perdana Menteri, saya tidak dapat terima kerana penjenayah-penjenayah UMNO akan menjadi sebahagian daripada Kerajaan yang saya akan pimpin.
Peletakan jawatan Perdana Menteri oleh saya tidak ada kena mengena dengan cadangan Pakatan Harapan supaya Anwar ambil alih jawatan Perdana Menteri selepas saya letak jawatan. Dengan Bersatu dan puak Azmin Ali keluar dari Pakatan Harapan, Pakatan Harapan sudah tidak lagi jadi Kerajaan dan saya tidak lagi jadi Perdana Menteri.
Sumber :
PERDANA MENTERI
1. Ramai yang percaya bahawa sebabnya Anwar tidak dapat jadi Perdana Menteri ialah kerana saya…
Posted by Dr. Mahathir bin Mohamad on Friday, November 20, 2020