Rundingan antara Umno, PAS dan PPBM mengukuhkan kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menurut sumber dalaman.
Sumber itu berkata, ahli Parlimen Umno yang mendapat kedudukan dan jawatan selepas pembentukan Perikatan Nasional (PN) pada Februari tetapi was-was mengenai peranan yang lebih besar buat Umno kini condong kepada Muhyiddin.
Bagaimanapun, mereka berkata keadaannya masih lancar, walaupun ketika ini, menampakkan Muhyiddin memperoleh sokongan yang cukup untuk kekal sebagai perdana menteri jika usul undi tidak percaya terhadapnya dibenarkan di Parlimen.
Seorang daripada sumber itu berkata, seramai 26 ahli Parlimen Umno yang diberikan jawatan oleh Muhyiddin, memihak kepadanya sebagai perdana menteri. Parti itu mempunyai 39 ahli Parlimen.
Katanya, beberapa ahli Parlimen Umno takut penyokong akar umbi mungkin tidak menyukai jika mereka dilihat bekerjasama dengan DAP, yang hampir pasti akan berlaku sekiranya mereka menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Tetapi semuanya belum lancar untuk Muhyiddin, katanya.
“Perbincangan dari Sabtu antara PPBM dan pemimpin Umno menemui jalan buntu kerana perbezaan pendapat antara segelintir pemimpin Umno dan PPBM,” katanya.
Sebahagian daripada kebuntuan itu disebabkan PPBM berat untuk memenuhi tuntutan dikemukakan oleh pemimpin Umno, kata sumber itu.
Pada 13 Oktober lalu, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim menghadap Agong. Beliau mengemukakan dokumen yang menunjukkannya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen dan harus diberi peluang untuk membentuk kerajaan baharu.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengakui beberapa ahli Parlimen parti itu menyokong Anwar.
Melalui perkembangan terkini, pemimpin Umno turut menyatakan mempertimbangkan menarik diri daripada gabungan kerajaan jika Muhyiddin tidak setuju dengan tuntutan mereka.
Difahamkan, tuntutan itu termasuk melantik pemimpin Umno sebagai timbalan perdana menteri, dan beberapa kementerian “strategik” diketuai oleh ahli Parlimen Umno.
Ia muncul selepas Umno mendakwa ia dilayan tidak adil dalam PN, bertitik tolak keputusan Muhyiddin menyokong pelantikan pemimpin PPBM sebagai ketua menteri Sabah, bukannya pemimpin Umno.
Sumber dalaman itu berkata, ahli Parlimen Umno masih sedia bekerjasama dengan Anwar dan membuka jalan kepada pilihan raya umum apabila jumlah kes Covid-19 menurun – tetapi tanpa DAP dalam kerajaan baharu.
Sumber lain yang mengetahui rundingan itu memaklumkan PAS cenderung kepada Muhyiddin dan menjauhi Umno.
“Mereka rapat dengan Umno tetapi tidak pasti adakah dapat mengekalkan jawatan Kabinet jika mereka menyokong langkah Umno untuk menyokong Anwar,” katanya.
Katanya, bagaimanapun kecenderungan ahli Parlimen Umno yang menyokong Muhyiddin boleh berubah jika Umno dapat menjalinkan kerjasama lebih baik dengan Anwar.
“Terdapat banyak rundingan sengit dengan ahli Parlimen Umno yang mempertimbangkan apakah akan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri hingga PRU berikutnya pada 2023 atau untuk menyokong Anwar dan membuka jalan kepada pilihan raya selepas Covid-19,” katanya.
Sidang Dewan Rakyat akan bermula 2 November ini, dengan Belanjawan 2021 dijadualkan dibentangkan 4 hari kemudian.
Beberapa pemimpin pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.
Berita penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/20/rundingan-kukuhkan-kedudukan-muhyiddin-kata-sumber/