Muhyiddin tersesat, darurat disangka penyelamat rupanya mudarat

Sejak Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 23 Oktober 2020, pelbagai cendekiawan, penganalisa politik, wartawan, pakar perundangan dan lain-lain mengulas sama ada perdana menteri mempunyai kuasa untuk memperkenalkan darurat atau sama ada YDP Agong mempunyai kuasa untuk menyokong atau menolak permohonan ini.

Kesahihan atau tidak darurat adalah persoalan perundangan tetapi hakikat mengapa darurat dipanggil adalah persoalan kuasa dan kepentingan politik.

Sejarah mengajar kita bahawa darurat di negara kita dari segi fakta dan pelaksanaan akan menepati dua syarat iaitu pertama adalah untuk menyelamatkan parti pemerintah dari hilang kuasa dan kedua adalah untuk menghapuskan musuh politik atau pencabar kuasa tersebut.

Apa yang sering dilemparkan sebagai alasan untuk darurat adalah ancaman Komunis, musuh antarabangsa dan lain-lain. Namun antara tersurat dan tersirat ada perbezaan yang ketara.

Muhyiddin berkata alasan darurat adalah kerana Covid. Namun hampir semua orang tahu itu hanya alasan. Itu adalah yang tersurat.

Apakah yang tersirat? Dua syarat darurat adalah menyelamatkan kuasa dan menghapuskan pencabar kuasa. Sejarah menepati dua syarat ini.

YDP Agong telah menafikan permintaan PM Muhyiddin Yassin untuk memanggil darurat.

Muhyiddin mengatakan secara tersurat bahawa alasan untuk darurat adalah mengawal Covid-19. Untuk kawal Covid-19, kita tidak memerlukan darurat kerana pengalaman kita melandaikan graf terbukti dengan pelaksanaan PKP.

Untuk membuat undi tidak percaya pula adalah mustahil kerana speaker pilihan Perikatan Nasional (PN) akan memastikan ia tidak akan dipanggil kerana harus menghabiskan urusan dewan yang lain.

Bercakap pasal soal pilihan raya, memang rakyat juga akan menolak PRU dipanggil pada masa terdekat terutamanya susulan apa yang berlaku di Sabah.

Maka siapa yang panggil untuk PRU sekarang akan mendapat kritikan dan kutukan ramai kerana tidak peka kepada keadaan tenat kesihatan dan ekonomi negara.

Maka setelah semua sebab-sebab di atas ditapis, maka apa yang ada hanyalah satu sebab iaitu kerajaan takut untuk sidang Parlimen yang akan datang terutamanya takut bahawa Bajet 2021 tidak akan lulus dan secara tidak langsung adalah undi tidak percaya kepada PM kerana sudah hilang kepercayaan Dewan.

Maka inilah yang ditakuti dan inilah mengapa darurat ini dipanggil.

Namun sebelum ini pun; tanpa bil di Parlimen, kerajaan boleh belanjakan banyak duit – pelbagai pakej rangsangan dan sebagainya tanpa perlu mendapatkan kelulusan parlimen.

Muhyiddin tersalah baca?

Maka jika alasan untuk darurat adalah dua syarat iaitu menyelamatkan kuasa dan mengapuskan pihak yang mencabar kuasa maka ketika ini Muhyiddin mempunyai dua musuh utama. Satu adalah Anwar Ibrahim dan satu lagi adalah musuh dalam selimut – puak Zahid Hamidi.

Mungkin Muhyiddin merasakan jika panggil darurat sekarang dia akan menjadi popular kerana rakyat cemas dengan Covid dan muak dengan ahli politik yang mahukan undi tidak percaya atau tukar kerajaan.

Dalam satu pungutan suara online yang diambil empat hari yang lalu oleh MKN mendapati 91 peratus daripada 169,000 orang yang mengundi setuju sangat dengan kawalan lebih ketat PKPB di Lembah Klang dan Putrajaya.

Ini mungkin memberikan dorongan kepada Muhyiddin bahawa rakyat menyokong tindakan beliau dan amat tidak setuju dengan langkah Anwar Ibrahim dan Umno hendak menjatuhkan kerajaannya.

Maka mungkin ini adalah faktor pendorong beliau cuba membunuh dua burung dengan satu batu apabila mengisytiharkan darurat kerana langkah ini pada pandangan beliau akan diterima oleh rakyat biasa yang amat takut dengan covid dan peningkatan kes selepas PRN Sabah mengingatkan kita bahawa rakyat amat marah tentang tindakan PRU ini.

Namun kemungkinan beliau telah tersalah langkah atau tersalah baca kerana walaupun rakyat amat benci dengan ahli politik yang hendak panggil PRU tetapi mereka juga amat tidak selesa dengan langkah darurat yang mungkin dilihat sebagai keterlaluan.

Ramai kumpulan, peniaga dan kumpulan pakar dan intelek tidak setuju dengan darurat.

Kini YDP Agong telah memberikan satu nasihat yang akan membuatkan YDP Agong amat popular. Kini PM Muhyiddin terpaksa mencari jalan lain untuk kekal berkuasa.

Kini sekutu PM yang paling utama adalah pandemik Covid sahaja kerana selagi ada situasi yang mencemaskan, rakyat tidak mahu satu lagi krisis politik sekarang.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/548128