PELBAGAI cara dilakukan golongan peniaga bagi melariskan jualan masing-masing.
Perkara sama dilakukan seorang penjual ikan di Pasar Malam Inanam, Kota Kinabalu di Sabah.
Perbuatannya itu terbongkar selepas Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu melakukan operasi besar-besaran pada malam Isnin lalu.
Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie berkata, semua 20 lot gerai menjual ikan di pasar malam terbabit diperiksa sebelum peniaga yang disyaki menggunakan pewarna dikesan.
Beliau berkata, sampel ikan yang dijual kemudian diambil oleh anggota Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada pewarna terbabit berbahaya atau tidak.
“DBKK melakukan pemeriksaan di Pasar Malam Inanam susulan aduan pewarna yang digunakan pada ikan yang dijual dan kita dapat mengesan penjaja yang disyaki menggunakan pewarna untuk mewarnakan ikan.
“Sampel ikan dibawa ke makmal oleh pihak KKM untuk siasatan lanjut dan hasilnya nanti akan dimaklumkan kepada JKPB DBKK untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata jika bahan pewarna yang digunakan mengandungi bahan berbahaya, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap peniaga yang menggunakan bahan berkenaan.
Sebelum ini, tular perbuatan peniaga ikan di pasar malam menggunakan bahan pewarna yang dipercayai untuk menjadikan ikan kelihatan segar, dengan kebiasaannya mereka menggunakan pewarna merah untuk mencelup ikan yang berwarna merah, seperti ikan mata besar atau lebih dikenali sebagai ikan ‘Uji Rashid’ di Sabah.
Baca juga: Patutlah Peguam Hidayah tolak wang tunai dari Ali Puteh, “kalau aku pun tak nak terima..”