Impiannya tercapai apabila ditawarkan bekerja dalam bidang minyak dan gas selepas tamat pengajian diploma di Akademi Laut Malaysia, Melaka pada usia 21 tahun.
Selepas lebih dua dekad berlayar, Al-Ahmad Shah, 39, sudah mengelilingi dunia sebanyak lima kali sekali gus melihat banyak keindahan dan kebesaran alam ciptaan Allah SWT.
Berkongsi kisahnya, Al-Ahmad Shah yang kini bertugas sebagai ketua jurutera sebuah kapal berkata, kerjayanya bermula sebagai kadet dan banyak cabaran ditempuh sebelum berada di tahap sekarang termasuk terpaksa berjauhan dengan keluarga.
“Dalam keluarga, hanya saya yang menjadi pelaut dan dua sebab saya nak bekerja di atas kapal adalah kerana nak berjalan (pergi ke negara lain) tanpa guna duit dan gajinya yang besar.
“Nak naik pesawat dulu tak mampu, jadi dengan cara begini (kerja) dapatlah saya merasai pengalaman pusing satu dunia. Lagipun, saya memang minat bidang perkapalan maka kerjaya ini memang kena dengan jiwa saya.
“Ikutkan emak, ayah dan nenek tak sokong pada awalnya, namun saya nekad pilih jalan ini untuk mengubah nasib keluarga,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Lelaki kongsi kisah kerja di laut, pernah nampak harimau kumbang atas kapal
Menceritakan pengalaman awal menjadi pelaut, Al-Ahmad Shah mengakui apa yang dibayangkannya tidak seindah disangka.
Selain mabuk laut, dia juga perlu membiasakan diri dengan situasi mencemaskan ketika berada di tengah lautan antaranya perubahan cuaca dan ancaman lanun.
“Ketika kali pertama naik kapal dulu memang berasa macam masuk hotel lima bintang. Tapi yang indah itu sementara saja selepas dilayan macam orang bawahan ketika mula bekerja.
“Itu belum lagi dipaksa bekerja walaupun mabuk laut hingga terpaksa gantung baldi di leher. Memang ada rasa menyesal tak dengar kata orang tua hingga terdetik nak berhenti pada tahun pertama dan kedua sebagai pelaut.
“Selepas tahun kelima, saya semakin selesa terutama apabila dapat membeli rumah dan kereta dengan hasil titik peluh sendiri,” katanya yang pernah melihat harimau kumbang berkeliaran di atas kapal selain penampakan ikan duyung di lautan.
Menyedari ramai anak muda yang menyimpan keinginan menjadi pelaut, Al-Ahmad Shah memanfaatkan platform TikTok untuk berkongsi pengalamannya.
“Permulaannya (perkongsian di TikTok) waktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dan tak sangka berterusan sampai sekarang.
“Banyak yang saya kongsikan dan kebanyakannya mengenai pengalaman kerja bagi menjawab pertanyaan pengikut. Ramai beri komen positif, tetapi ada juga kecaman dan memang tak dapat lari kerana itulah lumrah jika bermain dengan media sosial.
“Saya terima saja kerana niat nak kongsi ilmu dan akan terus muat naik lebih banyak video mengenai kerjaya dan bidang perkapalan memandangkan ramai nak tahu,” katanya.