Penyanyi, Datuk Syafinaz Selamat mengakui dia lebih selesa menjalani kehidupan solo tanpa peneman hidup biarpun usianya kini menjangkau 50 tahun.
Kehidupan yang sibuk dengan pelbagai aktiviti seni sehingga larut malam membuatkannya hanya berfikir tentang kerja sahaja.
“Saya rasa selesa dan rasa lebih mudah. Cuba bayangkan, kehidupan saya banyak berkisarkan kerja saya dan kadang-kadang balik malam. Mungkin ada yang tak percaya bila orang tanya fasal kehidupan saya, saya jawab sibuk.” katanya memetik Harian Metro.
Syafinaz yang juga turut sinonim sebagai juri program Gegar Vaganza itu berkata, dia bimbang sekiranya orang tidak memahami kerjayanya.
“Kadang-kadang orang tak faham kerja saya. Latihan saya bersama koir biasanya waktu malam. Habis latihan sekitar 10.30 malam. Selepas itu ada perbincangan dengan beberapa pihak lain.
“Saya tak bekerja setiap hari, tapi kebanyakannya waktu malam. Bila habis jam 1 atau 2 pagi itu perkara biasa buat saya. Jadi kalau orang tak biasa memang susah,” katanya.
Menurutnya apabila bergelar isteri, seorang wanita itu kena ada komitmen untuk rumah tangga.
“Setakat ini otak saya memang fikir kerja. Jadi saya rasa hidup saya selesa. Saya ada tanggungjawab untuk diri sendiri, boleh pergi ke mana saja dan buat apa saja nak.
“Tak perlu minta kebenaran sesiapa Kalau ada (jodoh), adalah. Kalau tiada saya okey. Kena ingat sebagai wanita muslim bila berkahwin kena ada tanggungjawab. Tak boleh berbuat sesuka hati.
“Apapun emak saya okey tak pernah cakap apa. Kakak-kakak saya dulu ada yang cakap, tapi sekarang mereka pun faham cara kerja saya,” katanya.
Sementara itu, bagi pelakon Nasha Aziz, 52, pula ketika ini dia lebih selesa menjalani kehidupan bersama ibunya.
“Saya berteman juga sebenarnya. Kalau saya perlukan teman, ia adalah bersama ibu. Itu teman jiwa. Saya bersyukur teman jiwa saya dah ada, bersesuaian pula dengan keadaan saya sekarang.
“Saya kena faham, keadaan orang lain (adik-beradik) mungkin tak seperti saya kerana mereka ada tugas-tugas yang lain. Dan kerana itu kehidupan mereka tak boleh jadi teman itu.
“Kalau jiwa kita diberi kepada lelaki atau suami, mungkin saya tak dapatlah ruang dan peluang itu,” katanya.
Nasha berkata, dia juga tidak pernah memandang ‘serong’ terhadap kuasa dan rezeki Allah kerana baginya, selagi hidup di dunia setiap manusia tidak tahu lagi apa ada di depannya.
“Saya lebih suka berdamai dengan takdir. Kita tahu satu itu (Allah) yang berkuasa terhadap segala-galanya. Saya nampak akan ada cahaya-cahaya keindahan yang akan datang lagi untuk saya.
“Saya pun tiada tekanan dalam perkara ini. Malah kadang-kadang saya rasa seronok tengok pasangan yang bahagia. Saya suka ambil aura itu di mana saya akan perhati dan serap masuk dalam diri saya.
“Saya pun tak bersangka buruk terhadap diri sendiri. Cuma waktu dan masanya belum sampai,” katanya yang positif dengan kehidupannya.
Baca juga: Lelaki tua berkerjaya kini menjadi kegilaan wanita muda