Nazifuddin Najib tawar diri bertanding jawatan naib ketua Pemuda UMNO pemilihan parti akan datang

Nazifuddin Najib tawar diri bertanding jawatan naib ketua Pemuda UMNO pemilihan parti akan datang. Anak bekas perdana menteri Najib Razak, Mohd Nazifuddin menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti akan datang.

Nazifuddin berkata sekiranya diberi peluang, beliau mahu menarik lebih ramai golongan muda menyertai Umno sekaligus dapat memperkukuh parti itu dimasa hadapan.

“Sebagai seorang ahli dalam persatuan sukan, saya merasakan ia satu kelebihan bagi saya untuk mendampingi golongan muda seterusnya mendorong mereka bersama kita,” katanya dalam kenyataan.

Nazifuddin yang juga setiausaha agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, beliau mahu menyumbang kudrat dalam memartabatkan aktiviti sukan, mencungkil bakat dan kemahiran, meningkatkan taraf ekonomi serta melaksanakan program berfaedah kepada golongan muda.

“Sekiranya diberi peluang menjawat jawatan ini, saya akan memfokuskan kepada golongan pengundi baharu, lepasan sekolah agar mereka dapat membantu kita memenangi PRU akan datang,” katanya.

Pemilihan Umno akan bermula 1 Feb membabitkan mesyuarat dan pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri yang berlangsung sehingga 26 Feb depan.

Sementara mesyuarat perwakilan dan pemilihan Jawatankuasa Umno bahagian bersama pemilihan ahli Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

BACA JUGA:

Pembakaran terbuka di Balai Polis Bandar Utama disiasat

Demam Babi Afrika (ASF): Tidak menjangkiti manusia dan bukan zoonotik

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023 dihiasi dengan pertunjukkan air pancur berirama