Netizen geram, halang ambulans rupanya ada masalah mental

Pemandu wanita yang menghalang ambulans di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini semalam, telah disahkan mengalami masalah psikiatri, menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh.

Beliau menyatakan bahawa pihaknya berjaya mengenal pasti pemandu berusia 41 tahun tersebut setelah pemandu ambulans membuat laporan polis.

“Pemandu kereta jenis Toyota Camry itu telah diambil tindakan dengan membawanya ke Balai Polis Trafik untuk tujuan penyiasatan.

Netizen geram, halang ambulans rupanya ada masalah mental

Walau bagaimanapun, kita dapati pemandu kenderaan tersebut menghadapi masalah psikiatri, dan oleh itu, dia telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tujuan rawatan serta untuk mendapatkan laporan perubatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sarifudin menjelaskan bahawa pihaknya terlebih dahulu mengetahui mengenai kejadian itu menerusi video yang viral di platform TikTok, yang memperlihatkan ambulans dihalang oleh kereta di Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2) dari arah Lotus Ampang menuju ke Hotel Flamingo.

“Siasatan awal menunjukkan bahawa kejadian tersebut berlaku semalam pada jam 5.35 petang, di mana ambulans dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menuju ke Ulu Kelang.

Ambulans tersebut menggunakan siren untuk tujuan kecemasan membawa pesakit dari HUKM menuju ke kediaman pesakit di Ulu Kelang,” jelasnya.

Beliau menyatakan bahawa kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Baca Juga : “Ingat ada orang sihirkan saya” – Black buang ketumbuhan dalam anak tekak