Buat pemilik bisnes yang berkait dengan penghantaran dan seumpamanya, pasti akan terasa dengan kenaikan harga diesel yang diimplementasi baru-baru ini.
Namun, tindakan sebuah kedai kopi terkenal yang turut menaikkan harga menu kopi mereka ekoran harga diesel meningkat telah mengundang persoalan di kalangan netizen di media sosial.
Menerusi siaran notis yang dimuat naik di Facebook, kedai Kopi Hainan memaklumkan bahawa mereka cuba sedaya upaya untuk mengekalkan penawaran sedia ada namun terpaksa menaikkan harga jualan kopinya susulan kenaikan kos semasa.
“ Mewakili pihak Kopi Hainan HQ, kami dengan berbesar hati ingin merakamkan penghargaan atas sokongan anda yang berterusan terhadap jenama dan produk kami.
“ Pihak HQ Kopi Hainan telah berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan harga jualan. Namun atas faktor kenaikan kos semasa, pihak kami terpaksa melakukan perubahan harga jualan,” ujar wakil kopi Hainan HQ kepada para pelanggannya.
Difahamkan bermula 15 Julai kelak, harga menu KOPI HAINAN bersaiz 22oz adalah RM4.50 bagi cawangan di seluruh Malaysia. Kenaikan sebanyak 50 sen bakal dikenakan bagi setiap cawan menu original.
Pihak Kopi Hainan turut membuat klarifikasi di ruangan komen bahawa kos bahan mentah semasa mereka sebenarnya sudah lama naik seperti susu, cawan, plastik dan terkini biji kopi pula dinaikkan oleh pembekal.
Hebahan notis Kopi Hainan itu ternyata telah mengundang persoalan di kalangan netizen kerana merasakan agak tidak rasional dikenakan caj tambahan 50 sen walhal bisnes hanya berkaitan minuman sahaja.
Sementara sebahagian netizen lain turut menyoal mengapa baru sekarang baru mahu menaikkan harga sedangkan sudah mengalami peningkatan kos bahan mentah sejak sekian lama seperti yang didakwa.