Nik Zawawi anggap tindakan cabar pelantikan speaker oleh Tun M di mahkamah sebagai lucu

Pas menyifatkan permohonan mencabar pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan mengemukakan perkara itu ke mahkamah sebagai lucu dan tidak profesional.

Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, tindakan membawa suatu kes ke mahkamah adalah satu tindakan biasa.

“Cumanya dalam isu pelantikan di Parlimen ini, kalau dibawa oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ia satu perkara yang dilihat masyarakat sebagai satu tindakan yang lucu dan tidak profesional.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, beliau menyokong tindakan yang dilakukan Dr Mahathir dan beberapa ahli Parlimen terbabit.

Ahli Parlimen Hulu Langat itu berkata, ahli Parlimen pembangkang telah membuat bantahan di Parlimen namun ditolak.

“Tiada sebab dan alasan yang diberikan melainkan semata-mata kerana ada calon baharu. Selepas usaha di Parlimen gagal, memang kami terpaksa akur apa terjadi.

“Sekiranya Dr Mahathir dan rakan-rakan ada jalan lain seperti melalui mahkamah, kami sedia menyokong usaha mulia ini,” katanya.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/93703/BERITA/Nasional/Pas-anggap-lucu-Amanah-tetap-sokong