Nurul Izzah kongsi berita sedih, gugur anak keempat

Nurul Izzah kongsi berita sedih, gugur anak keempat.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkongsi berita sedih berhubung pemergian bayi di dalam kandungannya kepada umum.

Nurul Izzah yang juga anak sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut memuat naik gambar mereka bertiga berpelukan dengan keterangan kisah kehilangan bayi yang dikandung menerusi hantaran Instagram, pada Selasa.

Kongsinya, pelukan tersebut mungkin merupakan kali pertama setelah selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sejak 19 November 2022, mungkin inilah kali pertama kami berpelukan. Terlalu banyak yang telah kami lalui bersama. Selesai berkempen, sempat pula menjangkiti Covid-19 buat kali kedua, mendapat berita kami mengandung anak keempat.

“Kemudian, sedang sibuk menguruskan tugasan baharu, ke sana ke mari, kembali ke Pulau Pinang kemudian ke Putrajaya. Dikejutkan pula dengan berita pemergian bayi yang dikandung. The little boot is gone,” katanya.

Dalam pada itu, meskipun sedih, beliau bagaimanapun tetap menerima takdir itu dengan reda dan memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH SWT.

“Saya terfikir tentang semua wanita yang melalui episod serta pengalaman yang sama, walau jalur individunya berbeza.

“Ungkapan mensyukuri nikmat-kata-kata indah untuk Yang Maha Esa – yang kita ucapkan walau mengalir air mata kerana kita hanyalah insan kerdil. Insan yang lemah dengan perasaan, hati, memori dan pengalaman,” katanya.

Beliau pada masa sama turut mendoakan mana-mana individu yang senasib dengannya agar kekal tabah dan kuat.

“Jadi kepada anda, hampir semua daripada kita mengalami kehilangan rasa, kita boleh menawarkan doa, pelukan maya dan ingatan bahawa kehidupan ini diteruskan,” kongsinya.

Sementara itu, perkongsian Nurul Izzah mendapat maklum balas daripada pengikut dan beberapa ahli politik yang menitipkan ucapan takziah dan kata-kata semangat atas kehilangan tersebut.

BACA JUGA :

3,612 mangsa banjir Johor, 5 daerah terjejas

‘Berdampingan’ dengan bomoh selama 2 jam

Jika Sabah, Sarawak tukar ke wilayah akan permudahkan pelaksanaan ekonomi negeri – Shafie Apdal

COMMENTS

Wordpress (0)