Ops Bersepadu Perayaan Tahun Baharu Cina: JPJ menyamar jadi penumpang bas. Taktik penyamaran sebagai penumpang bas antara kaedah digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor bagi memastikan pemandu dan syarikat bas mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang Ops Bersepadu Perayaan Tahun Baharu Cina, bermula 18 hingga 27 Januari ini.
Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, kaedah menempatkan anggota JPJ dalam bas ini dilaksanakan bagi memantau kelakuan pemandu dan kesalahan yang dilakukan oleh mereka.
“Antara kesalahan yang sering dikesan menerusi kaedah penyamara dijalankan adalah pemandu memandu di lorong kanan secara berterusan, tiada pemandu kedua bagi pemanduan melebihi 300 kilometer atau empat jam perjalanan, pemandu merokok dan tidak memakai kasut, penggunaan telefon bimbit semasa memandu dan tiada Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).
“Secara langsung dengan kaedah penyamaran ini, tindakan saman akan terus diambil terhadap pemandu yang didapati melakukan kesalahan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dalam Operasi Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Terminal Bas Seksyen 17, di sini pada Rabu.
Katanya, seramai 325 anggota JPJ akan digerakkan sepanjang pelaksanaan operasi ini.
“Objektif utama operasi adalah mengurangkan kadar kemalangan semaksimum yang mungkin dan sekurang kurangnya 50 peratus kadar kematian akibat dari kemalangan jalan raya pada tahun 2030.
“Penumpuan penguatkuasaan adalah terhadap sembilan kesalahan utama antaranya memandu melebihi had laju, gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan beberapa kesalahan lain.
“Tumpuan turut melibatkan kesalahan tambahan seperti tidak memakai topi keledar, tidak memakai tali pinggang, memandu secara berbahaya dan memandu tanpa lesen,” katanya.
Ujar Khairul Khar, pihaknya turut memfokuskan kepada 23 lokasi kawasan kerap kemalangan di negeri ini dengan menempatkan anggota JPJ bagi menjalankan pemantauan.
“Antaranya melibatkan lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan puluhan jalan persekutuan serta jalan negeri.
“Tumpuan akan diberikan terhadap kawasan titik panas ini sepanjang 10 hari operasi yang mana dikesan merekodkan lebih 10 kes kemalangan termasuk melibatkan kematian,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai turut digalakkan menjadi mata dan telinga pihk JPJ dalam menyalurkan info dan maklumat berkaitan kesalahan jalan raya.
“JPJ amat mengalu-alukan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat sekaligus membantu mengurangkan risiko berlakunya kemalangan.
“Pengguna jalan raya juga diingatkan supaya sentiasa peka, bertolak ansur, bertimbang rasa sesama pengguna jalan raya yang lain semasa memandu ataupun menunggang demi keselamatan semua pihak,” katanya.
BACA JUGA :
Penduduk Ranau bantu jaga kebersihan Pekan, MDR berterima kasih
PM New Zealand letak jawatan sebelum akhir Februari
Sikap prihatin yang tinggi, punca Rohingya bakal jadi beban kekal Malaysia