PANAS!!! Anwar pertikai peruntukan untuk staf lantikan politik di JPM

PANAS!!! Anwar pertikai peruntukan untuk staf lantikan politik di JPM

Perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 bermula hari ini dengan ketua pembangkang, Anwar Ibrahim membangkitkan peningkatan peruntukan sebanyak RM181.4 juta kepada kakitangan kontrak di bahawa Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ahli Parlimen Port Dickson itu mempersoalkan peningkatan itu untuk apa yang disifatkannya sebagai lantikan politik oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya ingin tahu butiran terperinci berhubung dengan program khusus dan emolumen kakitangan kontrak sebanyak RM200 juta bagi tahun 2021.

“Peningkatan RM181.4 juta berbanding tahun sebelumnya. Ini untuk pegawai kontrak politik di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Ini dalam keadaan kita uar-uarkan ini adalah kerajaan prihatin tentang Covid-19. Saya nak tanya apa hubungan RM181 juta ini dengan derita rakyat miskin yang menganggur yang sekarang menuntut pertimbangaan dan perhatian kerajaan hari ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar turut meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri yang menjawab soalannya di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof bagaimanapun kemudian menjelaskan pertambahan adalah sebanyak RM108.4 juta, bukan RM181.4 juta seperti disebut Anwar.

Dalam pada itu, Anwar turut membangkitkan peruntukan kepada duta-duta khas, juga di bawah JPM.

Menurutnya, pelantikan sejumlah duta khas adalah sia-sia kerana peranannya mampu dijalankan Kementerian Luar.

“…Tidak setimpal dengan membayar upah kepada jawatan yang tidak berkesan. Dalam Covid-19 ini, duta-duta khas ini ke mana mereka pergi? Semua di Kuala Lumpur,” katanya.

Shahidan Kassim (PN-Arau) kemudian mempertahankan peruntukan tambahan sebanyak RM181.4 juta itu sebagai usaha kerajaan mengambil semula kakitangan kontrak yang ditamatkan perkhidmatan ketika pentadbiran PH, termasuk kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Dia turut menggesa kerajaan menimbang semula hasrat untuk mengurangkan peruntukan terhadap Jasa. Dalam Belanjawan 2021, jabatan itu yang akan diwujudkan semula diperuntukkan sebanyak RM85.5 juta.

Bagaimanapun susulan kritikan ramai, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah dalam ucapan penggulungannya berkata peruntukan untuk Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) – nama baru jabatan itu – akan dikurangkan.

Perbahasan peringkat jawatankuasa hari ini diteruskan selepas arahan saat akhir Anwar agar ahli Parlimen PH tidak menyokong undi belah bahagi Jumaat lalu.

Ia menyebabkan dia dihujani kritikan atas perkara itu, yang disifatkan sesetengah pihak sebagai langkah memalukan oleh PH.

Dia kemudian berikrar pihaknya akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.

Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/553126