Panas !!! Anwar tidak akan beri kerjasama pada SPRM isu Pandora Papers?

Panas !!! Anwar tidak akan beri kerjasama pada SPRM isu Pandora Papers?

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil beliau untuk memberi keterangan berhubung pendedahan Pandora Papers sama ada bertujuan menutup mulutnya, atau sebaliknya.

Ketua Pembangkang itu menegaskan, beliau tidak akan memberi kerjasama kepada SPRM sekiranya siasatan itu semata-mata kerana mahu memintanya berhenti daripada bercakap mengenai Pandora Papers.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, beliau akan terus membangkitkan perkara tersebut pada sidang Parlimen akan datang sehingga siasatan berhubung Pandora Papers yang turut mengaitkan ahli politik dan pemimpin negara dibuat.

Anwar tidak akan beri kerjasama pada SPRM isu Pandora Papers?

Anwar berkata, beliau akan terus membangkitkan mengenai pendedahan Pandora Papers pada sidang Parlimen akan datang sehingga siasatan dibuat – Gambar BERNAMA

“SPRM jawab dia akan tanya saya… dia akan panggil dan tanya saya untuk berikan keterangan, kerja saya pula (beri penerangan). Ini satu dunia ada laporan itu. Tak apa… saya akan beri kerjasama, (dan) saya tiada masalah.

“Tetapi kena faham juga, ada peraturan dalam SPRM. Kalau saya beri keterangan, saya dilarang bercakap mengenai perkara itu. Faham tak? Ini saya kena fikir… kena tanya SPRM. Panggil saya ini untuk tutup mulut atau tidak?

Panggil saya (dan) saya ada hak untuk menyuarakan lagi, saya akan beri kerjasama. Kalau tidak, buatlah kerja sendiri.

“Buat laporan… cari dan gali lagi nama-nama (individu yang terlibat) patut ada. Dia (Pandora Papers) berjuta fail, bukan sikit…,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Port Dickson yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki telah mengarahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan pegawainya untuk berjumpa Anwar untuk dirakam keterangan.

Menurut Azam, keputusan sama ada kertas siasatan akan dibuka atau tidak bergantung kepada hasil perbincangan antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi-agensi terlibat.

Pandora Papers adalah laporan berhubung ratusan pemimpin dunia termasuk ahli politik didakwa menyembunyikan wang dan pelaburan mereka seperti hartanah, kapal persiaran dan aset lain sepanjang 25 tahun lepas.

Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki oleh 14 firma di serata dunia.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, pendedahan berhubung Pandora Papers bukan isu baharu, sebaliknya ia pernah didedahkan sejak 2012 termasuk melalui Global Financial Integrity mengenai pengeluaran wang ke luar negara secara haram.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang siasatan dilakukan terhadap pendedahan tersebut, tambah beliau.

Jelas beliau lagi, pengeluaran wang secara haram perlu disiasat oleh pihak berkaitan.

“Tetapi bila saya tekan-tekan, BNM masa itu jawab, tak banyak, kurang daripada Anwar cakap. Okay, saya sebut RM900 bilion, kurang jadi RM100 bilion. RM100 bilion keluar secara haram, carilah siapa dia… Dia bayar cukai tak? Kenapa dia keluarkan secara haram? Dia langgar peraturan atau tidak.

“(Tahun) 2015, saya masuk istana hinggap (penjara) Sungai Buloh, keluar pula Panama Papers, cerita macam itu juga. (Manakala) pada 2021, bangkit lagi Pandora Papers,” ujar Anwar.

Dalam masa yang sama, Anwar berkata jika betul berlaku pengaliran wang keluar secara haram, ia perlu dikembalikan dan wang itu boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan taraf pembangunan dalam negara termasuk menaik taraf sekolah-sekolah di luar bandar.

Sebelum itu, Anwar ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Maulidur Rasul menyentuh mengenai akhlak-akhlak Rasulullah yang perlu dicontohi oleh pemimpin, termasuk tidak menyalahgunakan kuasa.

BACA JUGA :
Presiden Filipina cadang suntik geng ‘antivaksin’ ketika tidur
Rakyat Malaysia pecah rekod di Australia, ditahan bawa dadah bernilai RM431 juta
Kajian dedah wanita berumur 53 tahun paling menikmati hubungan intim