Dua penganalisis politik ragu-ragu Umno akan mengambil tindakan disiplin terhadap presidennya, Zahid Hamidi dan bekas presiden, Najib Razak, sekiranya betul kedua-duanya antara ahli Parlimen yang menyokong usaha Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.
James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania percaya mereka paling berpengaruh dalam Umno.
Berkenaan Zahid, katanya, beliau yang melantik orang yang menganggotai jawatankuasa disiplin parti itu.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura tidak percaya Umno akan bertindak terhadap presidennya.
“Sememangnya, sebagai pemimpin parti, beliau berhak mengarahkan parti ke arah politik mana pun yang dilihatnya bermanfaat bagi kepentingan parti,” katanya kepada FMT.
“Individu seperti Tengku Razaleigh Hamzah mungkin tidak setuju dengan hala tuju baru, namun mereka boleh berikan pandangan atau tinggalkan parti.”
Chin dan Oh mengulas cadangan Razaleigh bahawa mana-mana ahli parti yang menyokong parti pembangkang perlu dikenakan tindakan disiplin, termasuk dibuang daripada parti itu.
Tengku Razaleigh berkata pemimpin parti tidak boleh terkecuali daripada tindakan disiplin sekiranya benar mereka antara yang menyokong pembangkang.
Komentar beliau muncul selepas timbulnya spekulasi mendakwa Zahid dan Najib antara ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim, dalam usahanya untuk menjadi perdana menteri.
Oh menyifatkan kenyataan Razaleigh itu sebagai swadiri, mengatakan veteran parti itu nampak seperti mahukan jawatan perdana menteri.
Katanya, dakwaan mengatakan Umno tidak boleh bekerjasama dengan pembangkang adalah pelik kerana Umno sudahpun bekerjasama dengan pesaingnya, iaitu PAS dan PPBM.
“Saya rasa Ku Li dapati sukar untuk meraih perhatian dari parti untuk menyokongnya menjadi perdana menteri, jadi mahu jadi ‘gung-ho’ untuk cuba meraih sokongan,” tambahnya.
Chin bersetuju Razaleigh mungkin cuba menarik sokongan kepada dirinya.
Namun, kebanyakan ahli Umno yang dihubunginya merasakan ahli Parlimen Gua Musang itu sudah melepasi zamannya, namun itu tidak akan menghalang beliau daripada cuba mendapatkan jawatan tertinggi parti.
Beliau mendakwa Razaleigh “selalu bermimpi” untuk menjadi presiden Umno.
“Tapi saya tak rasa ada yang menganggapnya serius,” katanya. “Orang kata kalau Dr Mahathir Mohamad boleh buat, mengapa Ku Li tidak boleh?
“Perbezaannya adalah Mahathir ‘one-off’. Saya tak rasa Ku Li seorang ahli politik yang unik.”